Saturday, January 11, 2014

~ Bidadarikah Aku {Bab 2}




Malam hari yang sama…

Terkilan sungguh Shahriza dengan tindak tanduk Adi Razman. Kalau ya pun bencikan dia, jangan pula anak mereka dijadikan mangsa. Apa salahnya masuk sebentar ke rumah dan bertemu dengan anak tunggal mereka, Adi Shafeer. Tak pun, boleh saja dipanggilnya anaknya itu untuk bertemu dengannya di pintu. Shahriza tak tahu nak cakap apa. Dia sendiri malu dengan Jazmin.

“Iza… mari makan. Ni lauk aku masak tengahari tadi,” pelawa Jazmin yang kelihatan sedang duduk di meja makan.

“Thanks Min. Kau memang tak kesah ke tidur kat rumah aku ni?” Shahriza rasa serba salah bila Jazmin menawarkan diri untuk bermalam di rumahnya.

“Aku tak kesah Iza. Lagi pun, laki aku tak ada. Dia lusa baru balik. Aku pun dah minta izin dari dia. Dia pun pesan supaya tidak tinggalkan kau sorang-sorang,” balas Jazmin sambil tangan ligat menyeduk nasi dan lauk-pauk ke dalam pinggan Shahriza.

“Terima kasih Min. Kau lah kawan aku dunia akhirat,” Shahriza benar-benar terharu dengan apa yang dilakukan Jazmin.


“Mari makan. Anak-anak pun dah tidur. Penat main sepanjang hari tadi,” tutur Jazmin yang cuba mengubah topik perbualan agar Shahriza tidak bersedih.

Selesai mengemas, mereka berehat di ruang tamu. Rumah teres yang mereka duduki ini punyai ruang tamu yang agak luas. Shahriza bersama Jazmin selalu tidur di situ bersama anak-anak mereka andaikata Jazmin bermalam di rumah Shahriza. Sambil baring-baring, mereka menonton tv.

Tiba-tiba telefon bimbit Shahriza berbunyi. Ada SMS masuk. Segera dia mencapai telefonnya dan membuka Inbox. SMS dari Adi Razman! Berkerut dahi Shahriza, kehairanan. Jazmin hanya memerhati Shahriza.

“Ya Allah!” tercetus dari bibir nipis Shahriza. Tiba-tiba Shahriza menangis. Jazmin terperanjat.

“Kenapa Iza?” tanya Jazmin, risau.

Shahriza masih terus menangis. Jazmin segera menghampiri Shahriza lantas tubuh Shahriza didakapnya. Dibiarkan Shahriza melempiaskan tangisan di bahunya. Jazmin akan bertanya kemudian, kerana sudah pasti Shahriza tak mampu untuk berkata-kata kalau begitu tangisannya.

Bila tangisan kian reda, Jazmin menolak sedikit tubuh Shahriza. Dia pandang wajah temannya yang basah dek airmata.

“Iza, bagitahu Min… Iza kenapa ni? SMS dari siapa tadi?” tanyanya terus.

Shahriza masih tidak berkata-kata. Dia hanya menyerahkan telefonnya pada Jazmin. Jazmin segera mencapainya dan membaca mesej yang masih tertera di skrin telefon. Terbuntang matanya tatkala membaca isi mesej yang dikirim Adi Razman.

“Aku dengan kau sudah tidak ada apa-apa lagi lepas ni.
Tolong keluar dari rumah itu sebab
aku tak mampu untuk membayar sewanya lagi!”

“Astaghfirullahalazim… apa ni? Kenapa Adi buat macam ni?” Jazmin benar-benar terperanjat. Sungguh dia tak sangka.

“Apa salah aku Min? Apa dosa aku pada dia Min? Kenapa dia buat aku macam sampah? Kalau ya pun dia sudah beristeri baru, kenapa dia buang aku macam ini?” rintih Shahriza.

Jazmin sekadar memandang temannya dengan penuh simpati. Dia sendiri tak tahu nak jawab macamana.

“Min, kenapa dia tak pulangkan aku pada keluarga aku sebagaimana masa mula-mula dia nakkan aku dulu? Kenapa dia buat aku begini? Macamana harus aku jelaskan pada keluarga aku Min?”

Jazmin memeluk bahu Shahriza. Dia sendiri pun buntu. Wajahnya juga sudah dibasahi airmata. Jazmin memandang Adi Shafeer dengan penuh simpati.

“Iza… kau sabar ya? Aku rasa lebih baik kau telefon keluarga kau Iza. Mana tahu mereka boleh bantu,” Jazmin bersuara cuba memberi pendapat.

Shahriza memang bekerja. Namun, sebagai kerani, berapa sangat gaji yang diperolehinya. Bagaimana harus dia langsaikan hutang sewa rumah yang sudah dua bulan tidak dibayar? Sudahlah selama ini semua bil-bil dia yang tanggung. Tidak termasuk dengan perbelanjaan rumah dan duit ansuran kereta. Sesungguhnya, dia memang sudah tidak mampu untuk terus tinggal di rumah sewa itu lagi.

“Kau rasa macamana reaksi keluarga aku andai mereka tahu apa yang aku lalui sekarang ini?” tanya Shahriza pada Jazmin.

“Aku tak pasti Iza. Tapi aku rasa adalah lebih baik kau berterus-terang saja. Mereka pasti faham. Haaa…. Apa kata kau call abang kau? Jangan terus pada ibu bapa kau kalau kau tak mahu mereka terkejut,” saranan Jazmin menaikkan sedikit semangat Shahriza.

“Betul cakap kau Min. Lebih baik aku call abang aku dulu,” dalam sebak Shahriza segera mencapai telefon bimbitnya dan terus menghilangkan diri ke dalam biliknya.

Nada di telefon berbunyi seketika sebelum panggilannya dijawab.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara garau memberi salam.

“Waalaikumussalam yob. Yob dekat mana ni?” Shahriza terus bertanya pada abang kandungnya, Shahrizal.

“Yob on the way nak balik rumah. Ada kenduri di rumah Tok Ketua,” balas Shahrizal ceria.

“Ayah ada dengan yob tak?”

“Ayah tak pergi. Tak berapa sihat katanya tadi.”

“Tak sihat? Ayah kenapa? Teruk ke?” Shahriza mula serba salah.

“Tak teruk. Sakit perut je. Tadi abang Ghani hantar durian dan rambutan ke rumah. Iza tau jer kan, ayah tu bila dapat buah-buahan tu, bukannya ingat kita dah,” Shahrizal gelihati bila teringatkan gelagat ayahnya masa makan buah-buahan petang tadi.

“Oohh… Alhamdullillah lah kalau macam tu,” balas Shahriza lemah.

“Iza kenapa ni? Lain macam jer bunyi?”

Shahriza diam. Dia jadi serba salah samada perlu beritahu ataupun tidak pada abangnya. Kalau tak diberitahu, lambat laun kena cakap juga. Lagipun dia sendiri dah tak tahu nak kemana bila keluar dari rumah ini.

“Iza? Iza kenapa? Ada masalah ke?” Shahrizal terus bertanya selepas tiada balasan dari adiknya.

“Yob…” Shahriza kembali sebak.

Tersentak Shahrizal bila dengar suara sebak adik kesayangannya.

“Iza… cuba cakap, Iza kenapa? Kalau tak, malam ni jugak yob ke sana,” Shahrizal dah tak sabar dek kerana dia terlalu risau bila dengar adiknya menangis.


No comments:

Post a Comment