Sunday, January 12, 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 3}


Keesokan harinya…

Kain baju yang dibasuh sudah siap dijemur.  Shahriza melangkah masuk ke rumah.  Kelihatan Jazmin sedang melayan Adi Shafeer dan Muzakir bersarapan.  Jazmin menoleh sekilas pada Shahriza.

“Mari makan Iza.  Aku dah siapkan mihun goreng ni,” pelawa Jazmin seraya melihat Shahriza masuk ke rumah.

Shahriza memberikan senyuman nipisnya sebelum menghilang ke dalam bilik air.  Tidak lama kemudian, dia melangkah menghampiri meja makan.

“Anak-anak mana?” tanya Shahriza pabila melihat Adi Shafeer dan Muzakir sudah tiada di meja makan.

“Mereka dalam bilik.  Sambung main,” balas Jazmin sambil menyenduk mihun goreng ke dalam pinggan dan serahkan pada Shahriza.  “Macamana semalam? Yob cakap apa?” tanya Jazmin pula.  Semalam dia tertidur semasa menunggu Shahriza habis berbual di telefon dan dia sendiri tak sedar pukul berapa Shahriza tidur.

“Yob aku nak datang hari ni.  Dia risau,” jawab Shahriza perlahan sambil menyuapkan mihun ke dalam mulutnya.

“Eloklah kalau macam tu.  Tapi kau sendiri macamana?”

“Aku ingat aku nak mula kemas barang.  Aku rasa aku nak keluar dari rumah ini.  Kalau boleh esok!”

“Esok?  Kenapa cepat sangat?”  Jazmin tak sedap hati dengan jawapan Shahriza.

“Biar cepat selesai semua.  Aku tak mahu dia datang perambat aku pulak Min.  Lebih baik aku keluar dulu,”  Shahriza bangun dan membawa pinggan makannya ke sinki.  Jazmin menurut dari belakang.

“Pukul berapa yob nak datang?” tanya Jazmin

Shahriza menjongketkan bahunya.  Dia memandang Jazmin, “Ngape?”

“Aku nak balik rumah aku le.  Segan pulak duduk sini abang kau ada,” jawab Jazmin sambil berulang-alik mengemas meja makan.

“Ishhh… kenapa pulak? Apa salahnya?  Kau nak segan apa? Bukannya yob aku tak kenal kau.”

“Ala Iza… selalu tu laki aku ada sekali.  Segan ler aku.”

“Relaks le Min.  Bukannya aku tinggalkan kau sendirian dengan yob aku tu.  Lagi pun, aku perlukan kau.  Kau kekuatan aku,” Shahriza cuba memujuk.

“Okey lah.. okey lah… tapi bagi aku balik rumah aku dulu.  Nak tukar baju dan nak kemas rumah sikit.  Nanti aku datang balik.  Muzakir aku tinggalkan dekat sini dulu ye?” ujar Jazmin setelah tewas dengan pujukan Shahriza. Shahriza tersenyum puas bila Jazmin akur dengan permintaannya.

“Min, aku ke bilik sekejap. Nak kemas apa yang patut.  Nanti kalau kau datang balik, kau masuk terus ya? Pintu aku tutup tapi tak kunci,” beritahu Shahriza pada Jazmin pabila temannya itu mula melangkah keluar dari rumahnya.

Hampir sejam Shahriza mengemas baju dan barangan peribadi miliknya dan dimasukkan ke dalam beg.  Dia kemudian duduk bersandar di katil memikirkan bagaimana untuk mendapatkan  kotak kosong.  Sambil-sambil itu Shahriza mengerling ke arah anak-anak yang sedang bermain di dalam biliknya.

Tatkala Shahriza bergerak menuju ke bilik air, tiba-tiba terdengar bunyi suara orang memberi salam.

“Mama… ade olang latang,” Adi Shafeer yang petah berkata-kata walaupun pelat, menghampirinya.

“Ada orang datang?” Shahriza sekadar bertanya pada anaknya, walhal dia sendiri mendengar salam yang diberi. “Jom, kita tengok,”  dia menarik tangan kecil anaknya keluar bilik.

“Eh! Ayah yob latang…,” belum sempat Shahriza bersuara, anaknya sudah menyebut dahulu.  Adi Shafeer melepaskan pegangan tangan mamanya dan terus berlari mendapatkan Shahrizal yang tersenyum lebar di  pintu pagar.

“Hai… hero ayah yob dah besar,” segera anak kecil itu didukung.  Kedua-dua belah pipi tembam Adi Shafeer dicium. “Ayah yob rindu sangat dengan Shafeer,” luahnya tatkala tubuh anak kecil itu didakap erat.  Adi Shafeer segera membalas pelukan bapa saudaranya itu.

“Yob…,” tangan Shahrizal diraih dan diciumnya sebagai tanda hormat. “Jom masuk. Yob datang naik apa?”  soal Shahriza bila kereta abangnya tidak kelihatan.

Shahrizal yang masih mendukung Adi Shafeer melangkah masuk ke rumah.  Sambil itu, dia mengagah-agah anak saudaranya itu.  Terkekek-kekek Adi Shafeer diperlakukan sebegitu.

“Naik teksi. Iza apa khabar?” Shahrizal melabuhkan punggungnya di sofa.  “Ini siapa?” mulutnya dimuncungkan menunjuk ke arah Muzakir.

“Ini anak Jazmin, jiran Iza.  Yob ingatkan?”  balas Shahriza.

Adi Shafeer meronta-ronta minta dilepaskan dari dakapan Shahrizal.  Shahrizal segera melepaskan Adi Shafeer, dan anak kecil itu berlari terus pada Muzakir.  Mereka sambung main.

“Apa ceritanya Iza?” soalan diajukan, namun mata masih ralit memandang ke arah anak-anak kecil yang sedang bermain.

Shahriza melepaskan keluhan.  Dia duduk di sisi abangnya.  Sharizal mengalihkan perhatian pada adiknya pula.  Baru dia perasan akan perubahan pada diri adiknya.  Berkerut dahinya.

“Iza tak sihat ker?  Yob tengok Iza ni kurus sangat.  Kenapa ni?”

“Iza sihat yob,” jawab Shahriza perlahan.

“Habis tu, cuba cerita dekat yob, apa sebenar yang berlaku?”

Shahriza memandang sayu ke wajah abangnya.  Dia tak tahu macamana nak mulakan cerita. Nafas ditarik dalam sebelum dihembuskan perlahan.

“Hal ni dah lama. Hanya, Iza sengaja tak nak bagitahu sesiapa.  Tapi… yang menjadi lebih teruk bila abang Adi kawin dengan pegawai atasan dia, tiga bulan yang lepas. Bila dia dah mula rasa hidup senang, dia abaikan Iza dengan Shafeer,” cerita Shahriza pada abangnya.

“Semenjak itu dia dah tak balik ke rumah.  Hanya semalam dia datang sekejap.  Itu pun untuk hantar borang cerai.  Lepas Isyak semalam, Iza terima SMS dari dia,”  Shahriza bangun dan terus mengambil telefon bimbitnya.  Segera mesej dari Adi Razman dibuka dan ditunjukkan pada Shahrizal.

“Melampau dia ni!” Shahrizal mengumam geram selepas mesej itu dibacanya.  “Simpan SMS ni.  Mungkin kita akan memerlukannya kemudian hari,” pesan Shahrizal tatkala telefon bimbit adiknya diserahkan kembali.

“Yob duduk kejap.  Iza ke dapur sebentar,” ucap Shahriza yang bangun dan melangkah menuju ke dapur.

“Iza, yob ingat esok Iza pindah balik kampung.  Yob dah dapatkan lori.  Pagi esok mereka sampai,” ujar Shahrizal pabila Shahriza menghidangkan bihun goreng dan air teh untuk abangnya.

“Macamana ayah dengan ibu? Mereka tak terperanjat ke kalau tiba-tiba Iza balik?”

“Itu Iza jangan risau.  Yob dah cerita sedikit sebanyak tentang apa yang Iza bagitahu yob semalam.  Ayah yang suruh yob bawa Iza dengan Shafeer balik kampung.  Ayah tak nak Iza sendiri-sendiri di sini.  Takut entah apa-apa yang Adi buat nanti.”

Shahriza hanya tunduk, diam.

“Oh ya… yob tidur sini malam ni.  Yob nak tolong Iza berkemas,” sambung Shahrizal lagi.  Shahriza mengangguk dan tersenyum.

“Errr..yob, yob ikut Iza ke pejabat sekejap boleh?  Iza nak hantar surat perletakan jawatan.”

“Bukan ker hari ni half day? Errr…. Iza memang tak kerja ker hari ni?” soal Shahrizal.

“Haah.. Iza ambil emergency leave. Tapi Iza dah call boss bagitahu Iza nak datang and minta dia tunggu.  So, Iza kena ke sana before two,” jawab Shahriza.

Shahrizal menganggukkan kepalanya dan seketika kemudian tumpuan beralih ke anak saudaranya.  Sebak di hatinya ditahan.  Tak sangka adiknya akan tempuhi keadaan seperti ini di usia yang terlalu muda.  Bila kenangkan pula anak saudaranya, hatinya bertambah sayu.

Dalam diam, Shahrizal mencuri pandang ke arah adiknya.  Terdetik rasa sebak di hatinya bila lihat tubuh Shahriza yang dulu agak berisi tapi kini sudah kurus.  Namun jauh di lubuk hatinya, dia kagum dengan perubahan diri adiknya itu.  Shahriza kelihatan lebih cantik dan lebih menawan. Dengan tubuh yang sedia tinggi itu, kini sudah kelihatan makin lampai. Gaya tubuh seorang peragawati, ramping dan lampai. Shahrizal percaya pasti ada suatu hikmah di sebalik perpisahan Shahriza dengan adik iparnya Adi Razman. Tanpa sedar, tersungging segaris senyum di wajahnya.





No comments:

Post a Comment