Tuesday, January 14, 2014

~ MKR BAB 4 : DARI HOTEL KE RUMAH



Sepanjang pemanduan pulang, kedua-duanya senyap membisu! Tiada sepatah kata yang terluah dari kedua ulas bibir mereka. Yang becok berceloteh hanyalah DJ radio Suria FM membacakan puisi-puisi syahdu diiringi geselan biola. Penuh melankolik hingga membuai perasaan Misha yang sedang enak melayani bait-bait sajak yang dideklamasikan oleh DJ Lin. Namun segala ketenangan dan kesyahduan itu terhapus secara tiba-tiba apabila Megat Danial menukar siaran.


“Mana rumah awak?” Soal Megat Danial acuh tak acuh. Cuba menggunakan ganti diri dengan bahasa yang lebih sopan. Cuba berbaik walaupun hatinya tida rela. Sesekali wajah Misha dikerling.  Sesudah itu dia kembali menancap jalan raya yang sudah lengang.
“Dengkil!” Gumam Misha sepatah! Tubuh yang sudah berbalut sweater dipeluk erat!
“What?” Megat Danial terperanjat. Kereta yang dipandu sedang menghala ke Sungai Buloh. Dan mengapa pula baru sekarang Misha bersuara.
“Apasal tak cakap awal-awal?” Megat Danial diamuk amarah. Baru sahaja mahu berbaik, Misha sudah buat dia marah.
“Ada awak tanya? Tak ada kan? So.. saya diam ajelah!” Sahut Misha selamba.
“Awakkkk...” Megat Danial ketap bibir dan stereng kereta dicengkam erat. Terasa mahu sahaja dihumban Misha keluar dari Nissan Skyline yang sedang dipandu. Benar-benar menguji dia yang mudah melenting.
“Apa?” Soal Misha sepertinya dia tidak mengerti apa-apa. Mimik polos sengaja dipamerkan. Megat Danial mula menghambur nafas panjang! Ingin sahaja dicekik pangkal leher itu! Agar gadis bernama Elmi Husna tidak lagi membakar hatinya yang sering membara.
“Apasal baru sekarang awak cakap, ha? Awak ingat saya ni driver awak?” Soal Megat Danial bersama nafas tertahan-tahan. Kalau diikutkan hati yang marah, mahu sahaja dia baham Misha yang kerempeng. Eiii geram betul.
“Sorry,” sepatah Misha membalas.
Dan kerana tidak berpuas hati, bibir terus sahaja menghambur bicara. “Awak ingat, saya ni rajin sangat nak hantar awak balik? Hey pleaselah!” Amukan sudah sampai ke kepala, dia bimbang andai tidak dikawal kereta berwarna putih itu bakal dipecut selaju mungkin! Bahaya memandu di dalam emosi yang tidak stabil! Kelak ada jiwa yang melayang!
“Encik tak tanya? Takkan saya nak bersuara!” Misha menjawab lagi. Dalam diam dia sudah tersenyum di dalam hati. Puas bila dapat mengenakan manusia angkuh lagi bongkak seperti bos yang berada di sebelahnya.
“Awak bukan bisu! Kenapa tak cakap awal-awal? Menyusahkan orang! So sekarang macam mana?” Megat Danial menyoal bertubi-tubi! Untuk berpatah semula ke Dengkil, itu mustahil! Dia tidak mahu ke sana lagi, tambahan pula hari sudah jauh malam! Dirinya masih lagi terasa pening dan sedikit berdenyut di belakang kepala.  Semuanya angkara tertelan ubat tidur yang sudah larut di dalam jus oren siang tadi. Niatnya sebaik pulang nanti, hanya satu! Iaitu tidur dan merehatkan diri sendiri.
“Macam mana apa? Hantarkan saya ke Dengkil!” Sahut Misha tanpa rasa bersalah. Sejurus itu wajah dikalihkan ke sebelah kiri jalan raya. Melihat lampu neon yang bergemerlapan.
“Senanglah awak cakap! Awak ingat saya ni kuli batak awak? Ikut suka hati nak pergi balik, macam tu aje?” Hambur Megat Danial menyindir dalam diam. Misha mendengus, seraut wajah kelat lelaki itu menerpa ruang mata. Langsung tiada manisnya! Dahi berkerut, kening bertaut, dan rahang sedari tadi bergerak-gerak! Berpotensi untuk menjadi tua sebelum usia!
“Sekarang ni, Encik nak hantarkan saya atau tidak? Ya atau tidak?” Soal Misha bersama intonasi tegas. Megat Danial menjeling tajam!
“Jawab, ya atau tidak?” Tekan Misha sambil jungkit kedua belah keningnya.
“Excuse me Miss Misha,” soal Megat Danial mahu Misha sedar diri. “You arahkan I?” Megat Danial menyoal tidak lama kemudian. Misha mengangguk perlahan.
“Yelah, kenapa? Tak faham ke?” Aju Misha selamba. Mencurah minyak di atas bara yang baru menyala!
“Eh, budak ni! Memang dah lama hidup agaknya?” Bentak Megat Danial seraya menukar gear lalu memusing stereng kereta dengan tiba-tiba hingga membuatkan Misha sedikit kelam kabut akibat pusingan mengejut itu! Hampir-hampir sahaja dahinya berlaga dengan dashboard kereta!

Tanpa suara dan tanpa sepatah kata, Megat Danial terus sahaja memecut Nissan Skyline bewarna putih menuju ke Dengkil! Menghantar satu-satunya makhluk yang gemar menguji barannya.
“Kalau nak mati, mati sorang-sorang! Jangan libatkan saya!” Aju Misha bila melihat meter kelajuan sudah mencecah ke angka menakutkan. Kalau di zon perangkap laju, sah-sah Megat Danial akan terperangkap berkali-kali.
“Slowkan kereta awak! Bahaya tahu!” Jerit Misha bila merasakan dia seolah-olahnya tidak duduk tetapi sedang terapung! Sekejap ke kiri jalan, seketika kemudian berada di lorong kanan! Dan lebih menyakitkan hati, lelaki itu menekan brek sesuka hatinya sahaja!
Sisi seat kereta dicengkam dan wajah Megat Danial yang tiada riak dipandang silih berganti. “Perlahankan kereta ni! Perlahankan....” Dari suara yang sedikit tegas, akhirnya Misha mengendurkan suara. Namun lelaki itu tetap senyap tidak bersuara, cuma kelajuan sudah dikurangkan. Huh, Misha hela nafas! Lega!
Lama berdiam diri, akhirnya Megat Danial membuka mulut. “Arah mana?” Dia menyoal sebaik sahaja kereta berhenti di simpang lampu isyarat. Dari ekor mata, wajah pucat itu dikerling. Padan muka!
“Sana!” Sahut Misha masih takut-takut.
“Sana... sana...” Ajuk Megat Danial kedengaran cukup menyampah!
“Sana tu, sebelah mana?” Hamburnya lagi apabila Misha sering kali berdolak dalih dari berterus terang.
“Kanan!” Sahutnya sepatah.
Sejurus mendapat arah tuju yang dimaksudkan, kereta terus sahaja dipandu membelah jalan yang lengang! Perkarangan rumah semi-D diperhatikan dari jauh, dan lot tanah yang menempatkan rumah unit dua tingkat itu di tujui.
“Ini rumah awak?” Soal Megat Danial acuh tak acuh. Kereta sudah diberhentikan sebaik sahaja Misha mengisyaratkan dia berbuat sedemikian.
“Bukan rumah saya, tapi ni rumah mak saya!” Gumam Misha  masih gemar bersenda walaupun sedar guraunya bakal menimbulkan kesan sakit di hati Megat Danial. Namun dia tidak peduli sama sekali, bahkan dia bertambah bahagia melihat lelaki itu dihambat resah dan juga baran! Padan muka! Padan muka! Padan muka!
“Mana emak awak?” Soal Megat Danial lagi. Nada itu kedengaran dingin dan beku!
“Entah, yang awak nak jumpa dengan emak saya apasal?” Gerutu Misha hairan.
“Suka hati sayalah!” Jawab Megat Danial pula. Sama-sama enggan bekerjasama! Sejujurnya dia mahu memperjelaskan mengapa dia terpaksa menghantar gadis ini pulang. Agar tiada salah faham yang bakal mengaitkan dirinya selepas ini.
“Mana emak awak?” Tegasnya mahu Misha segera menjawab.
“Suka hati sayalah nak beritahu ke tidak! Dia tak ada! Awak tak boleh jumpa,” Misha menolak permintaan Megat Danial dan sejurus itu dia mengerling sekilas ke arah lelaki yang masih angkuh dalam berbicara.
Tokkk.. tokkk... cermin kereta diketuk. Misha segera menoleh ke sisi kiri. Wajah seorang lelaki tersapa di ruang mata. Tanpa berlengah lagi, pintu kereta di tolak dari dalam dan tubuh dibawa keluar.
“Misha, baru balik?” Lelaki itu menyoal lembut. Megat Danial yang berada di dalam kereta, buat tidak endah!
“Ya, baru balik!” Sahut Misha acuh tak acuh. Sesudah itu, pintu kereta dirapatkan semula. Tergesa-gesa untuk masuk ke dalam rumah. Melihat tingkah Misha yang cuba melarikan diri, Megat Danial segera keluar dari perut kereta.
“Oit... blah macam tu je? Tak reti cakap terima kasih?” Sindir Megat Danial tanpa sedar dia juga bertindak seperti itu ketika dipejabat agama sebentar tadi.
“Perlu ke?” Misha bersahaja. Seketika kemudian gadis itu mencebir lalu menapak masuk ke dalam rumah.  Meninggalkan lelaki itu terkulat-kulat diluar pintu pagar.
 “Budak ni, memang mencari nahas agaknya!” Bisik hati yang sudah geram. Tubuh genit yang terus menapak masuk ke dalam rumah itu, diperhatikan sehingga lenyap dari pandangan mata. Memang berani dan langsung tidak takut padanya! Arghhh... memang menyakitkan hati.
“Ehem...” satu deheman menyedarkan Megat Danial yang sedang bercekak pinggang menghadap daun pintu yang tertutup rapat. Perlahan-lahan tubuh dikalihkan dan individu yang berdehem diperhatikan.
“Dia!” Hati berdetak kencang. Serentak itu juga, segala rasa sakit dihati terbit membuak-buak. Dia ketap bibir menahan rasa amarah.
“Maaf, kalau uncle tanya sikit boleh?” Lelaki itu menyusun bicara. Megat Danial bungkam, hanya anggukan dipamerkan sebagai respon terhadap pertanyaan itu. Tanpa sedar, pandangan sudah dibuang ke tengah padang permainan yang terbentang luas.
“Anak ni kawan Misha ke?” Pertanyaan itu terlafaz. Megat Danial mengangguk pada mulanya, namun tidak lama kemudian dia menggeleng pula.
“Kawan ke tidak?” Lelaki itu menyoal bersama tawa kecil.
“Bukan kawan! Tak kenal pun, just tolong hantar balik.” Jawab Megat Danial tanpa riak mesra. Kelat sahaja raut wajah itu!
“Jumpa Misha di mana?” Lelaki itu menyiasat.
“Bilik hotel!” Aju Megat Danial pendek. Tidak berfikir panjang terhadap jawapan yang terhambur dari kedua ulas bibirnya.
Kerana jawapan ringkas Megat Danial. Dia dipersoalkan lagi. “Bilik hotel? Hotel mana? Misha buat apa di situ?” Lelaki itu menyuarakan kecurigaannya.
“Entahlah!” Jawab Megat Danial malas memanjangkan cerita lalu berura-ura mahu meninggalkan perkarangan rumah tersebut.
“Anak ada hubungan dengan Misha?” Pertanyaan lelaki itu berjaya membuatkan Megat Danial yang baru sahaja mahu melangkah pergi, terbantut dengan tiba-tiba. Wajah lelaki itu dikerling dan tubuh itu dihampiri.
“Hubungan?”
“Hubungan... maksud uncle...” Lelaki itu teragak-agak untuk meneruskan bicara.
“Hubungan yang macam mana?” Bibir itu menyoal pantas. “Hubungan berlandaskan bayaran?” Sambung Megat Danial lagi. “Maksud uncle, saya melanggan budak perempuan tu?”  Megat Danial menyoal bersama senyuman sinis. Dia merasa jelak dengan tiba-tiba!
“Ya,” lelaki itu menggangguk berat. Memikirkan yang bukan-bukan tentang Misha.
“Maaf, saya bukan jenis lelaki yang gilakan perempuan! Cukuplah kalau uncle sahaja yang buat perangai macam tu! Jangan samakan saya seperti uncle!” Hambur Megat Danial seraya berlalu pergi bersama kenderaan kesayangannya,  Nissan Skyline.

No comments:

Post a Comment