Saturday, January 11, 2014

~ Datang Dengan Cinta { Bab 3 }




PUAN SARA masih lagi berada di bengkel kereta tempat di mana keretanya diperbaiki. Sudah hampir satu jam dia menunggu di situ. Masih lagi belum siap keretanya.  Dia nampak gelisah. Jam tangannya menunjukkan waktu semakin menghampiri pukul 4.30 petang.


“Lambat lagi ke siapnya kereta ni?” tanya Puan Sara seakan tidak sabar lagi menunggu di situ. “Saya ada hal ni… nak pergi hospital… melawat orang sakit…”


“Rasanya tak boleh siaplah puan… ada barang nak kena pesan… kami tak ada stok… kalau esok boleh siap.”


“Esok!”


Puan Sara melihat sekali lagi jam di tangan. Gelisahnya mula memanjang. Serta merta wajah Dzar Aqashah, anak bujangnya mengapung di depan mata. Dia tidak ada pilihan lain selain daripada menghubungi Dzar Aqashah. Walaupun Dzar Aqasha pasti marah atau bising kerana masa ini adalah masa untuknya bermain futsal mahupun berjumpa kawan-kawan. Puan Sara terpaksa dan cuba mendail nombor telefon bimbit Dzar Aqasha.




“Qashah dah lambat ni… ini pun dalam perjalanan nak pergi sana,” renggus Dzar Aqasha apabila ibunya menelefon meminta pertolongan. “Dah nak sampai pun!” bentaknya lagi.


“Ibu minta maaf banyak-banyak sama Qhasah… kereta ibu tak boleh siap petang ni…” jelas Puan Sara.


Dzar Aqasha memperlahankan pemanduan keretanya. Terdetik juga di hatinya akan kesusahan yang menimpa ibunya saat itu. Berasa kasihan pun ada.


“Ibu nak Qasha buat apa sekarang?”


“Qasha pergi kedai bunga tadi… ambilkan bunga tempahan ibu… lepas tu jumpa ibu kat bengkel ni,” ujar Puan Sara memberi arahan kepada Dzar Aqasha. Belum sempat mengucapkan terima kasih, talian telefon telah terputus.


Telefon bimbit dicampak ke sebelah tempat duduk depan. Dzar Aqasha tidak membantah. Dengan rasa berat hati dia memandu kereta ke arah kedai bunga Sweet Seroja. Jam tangan menunjukkan 15 minit lagi menghampiri jam 5 petang.


Apabila sampai berhampiran dengan premis Sweet Seroja, Dzar Aqasha mencari tempat untuk parkir kereta. Semua lot parkir yang berhampiran tidak ada yang kosong. Dzar Aqasha terpaksa berpusing sekali lagi untuk mencari petak parkir yang kosong. Sepuluh minit sudah berlalu. Masih lagi banyak kenderaan yang lalu lalang pada masa itu.


“Hiss… tak adakah orang nak keluar!” bentaknya sendiri. Matanya melilau memandang kawasan sekitar kalau-kalau ada kereta yang keluar dari parkir yang ada. Sekali lagi dia terpaksa berpusing ke arah jalan yang sama. Kali ini dia bernasib baik kerana ada sebuah kereta yang mahu keluar dari parkirnya. Walaupun agak sedikit jauh dari kedai bunga itu tetapi dia lega kerana sudah ada tempat untuk keretanya.


“Huh… akhirnya…” dia melepaskan keluhannya.


Dengan segera Dzar Aqasha mendapatkan parkir yang kosong itu. Setelah keadaan dirasakan selamat, kereta dikunci. Dia segera ke premis Sweet Seroja. Langkah kakinya cepat kerana mahu mengejar masa. Ibunya mesti penat setelah hampir 2 jam menunggu di bengkel kereta manakala dia harus segera ke gelanggang futsal kerana kawan-kawannya telah lama menunggu.


Daun pintu Sweet Seroja ditolak namun tolakannya terhenti di situ. Ditolaknya sekali lagi namun tetap tersekat di situ. Pintunya berkunci dari dalam premis. Dzar Aqasha nampak berkerut dahinya dan seketika menepuk dahinya sekali lagi kerana ada satu papan tanda kecil tergantung dari dalam premis tertera perkataan…. TUTUP SEBENTAR / SOLAT ….


“Aduh! Hiss… aku dah lambat… ada saja halnya!” renggus Dzar Aqasha.


Sementara menanti, matanya melilau memandang ke dalam premis kalau-kalau ada bayang yang menjelma. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Keluhan demi keluhan dilepaskan.


“Mana ni orangnya… lambatnya!”


Penat berdiri, Dzar Aqasha duduk  membelakangi premis Sweet Seroja. Duduknya nampak gelisah. Sesekali matanya memandang jam di tangan yang terus berdetik.


“Hmm… tak pasal-pasal ada yang kena marah dengan aku petang ni!” bentaknya.


“Err… maafkan saya… encik tunggu sayakah?” terdengar satu suara di pintu premis kedai Sweet Seroja.


Serta merta Dzar Aqasha menoleh ke arah datangnya suara itu. Mukanya yang nampak bengis membuatkan Haini terasa sedikit gementar.


“Hmm… memang saya tunggu awak! Saya dah lambat ni!” renggus Dzar Aqasha lagi.


“Err… tunggu saya… err… awak ni siapa? Kita ada temu janjikah?” balas Haini cuba memberanikan diri untuk menjawab. Terasa takut pun ada kerana dia tidak mengenali siapakah pemuda itu. Hatinya mula gementar, takut kalau-kalau pemuda itu orang jahat yang mahu mengganggunya atau perniagaan ibunya.


“Lebih baik awak pergi dari sini… kalau tidak saya telefon polis!” lantas membuka salah satu kasut tumit tingginya lalu diacukan kepada Dzar Aqasha.


“Polis? Ehh… tunggu-tunggu… kenapa dengan saudari ni? Err… err… maafkan saya sebab menakutkan awak…” tersekat-sekat kata Dzar Aqasha apabila gadis yang berada di hadapan matanya itu mahu menelefon polis.


“Habis tu awak nak apa?” soal Haini semakin berani sambil mengacah-acahkan kasut tumit tingginya ke arah Dzar Aqasha.


“Kalau iya pun… kasut tu… err… saya cuma nak ambil pesanan bunga…” ujar Dzar Aqasha terketar-ketar.


Amarah di dada Haini mula mengendur. Dia pun bagaikan tersipu-sipu malu. Terasa segan pun ada apabila teringatkan skesta lakonannya terhadap pemuda yang belum dikenalinya itu. Segera sepatunya dipakai semula ke kakinya.


“Emm….maafkan saya… err… awak menakutkan saya…” sela Haini sambil menguntum senyum kecil lalu menolak daun pintu ke dalam premis. “Masuklah… saya ambilkan pesanan encik…” Haini terus berlalu ke dalam sambil diikuti Dzar Aqasha dari belakang.


Sampai di kaunter, Haini mengeluarkan satu fail pesanan. Dzar Aqasha turut memerhatikan kawasan sekitar dalam premis yang penuh dengan bunga-bunga itu. Bagaikan sebuah taman yang penuh warna-warni, cuma kumbang dan rama-rama yang tidak kelihatan.


“Resit pesanannya ada encik…” pinta Haini. Dzar Aqasha segera mengalihkan semula perhatian kepada gadis di hadapannya itu.


“Err… apa tadi? Hehehe… tak dengar…” tersengih-sengih Dzar Aqasha.


“Resit pesanannya encik!” sekali lagi Haini bersuara dengan agak tegas.


“Oh… ya… ini dia resitnya… maaf ya… janganlah marah…” sengihnya terus memanjang.


Haini memandang tepat ke wajah Dzar Aqasha apabila resit pesanan bertukar tangan. Seketika dua pasang mata bertemu. Dzar Aqasha kehairanan. Tangan kanannya mengipas ke arah muka Haini beberapa kali.


“Ehh… awak nampak hantukah?” usik Dzar Aqasha.


Haini tersentak apabila diusik Dzar Aqasha. Dia segera meninggalkan Dzar Aqasha yang masih dalam kebingungan. Haini ke meja gubahan bunga yang sudah siap. Diambilnya salah satu gubahan tersebut sebelum kembali semula di kaunter bayaran.


“Encik… ini dia gubahan bunga yang dipesan tu.” ujar Haini bersopan seraya menghulurkan gubahan bunga itu ke tangan Dzar Aqasha.


“Nah… ini duit bayarannya…” giliran Dzar Aqasha pula menghulurkan sekeping wang kertas ringgit bernilai lima puluh ringgit Malaysia.


Dzar Aqasha baru teringat janjinya bersama teman-teman untuk bermain futsal. Melihat jam di dinding premis Sweet Seroja menunjukkan pukul 5.30 petang, mulutnya melopong seperti terkejut.


“Alamak!... maaflah saya nak cepat!” terus sahaja Dzar Aqasha beredar dari kaunter bayaran menuju ke pintu keluar premis perniagaan itu.


“Ehh… ehh… encik… nanti dulu encik…” teriak Haini dari kaunter bayaran. Langkah kaki Dzar Aqasha terhenti dan serta merta menoleh ke arah Haini.


“Bakinya encik…” tambah Haini lagi sambil menghulurkan baki duitnya.


“Tak apalah… keep the change…” balas Dzar Aqasha dan terus melangkah sebelum terhenti dan menoleh sekali lagi ke arah Haini. “Err… satu lagi… jangan garang-garang sangat… nanti orang takut nak masuk kedai ni…” usik Dzar Aqasha dan terus berlalu.


Haini tersenyum sambil menggeleng kepala. Siapakah gerangannya pemuda itu agaknya? Tiba-tiba sahaja dadanya rasa berdebar. Tiba-tiba sahaja bagaikan ada ombak menderu di hatinya. Teringin nak berkenalan tetapi tidak sempat kerana keadaan dan masa membataskan. Dia teringat kepada Puan Sara yang datang menempah gubahan bunga sebelumnya tadi. Dia dapat mengagak, kemungkinan dia adalah anak bujang Puan Sara. Mungkin juga, desis hatinya lagi.


Sejak akhir-akhir ini perniagaan Sweet Seroja yang diusahakan oleh Puan Zainah semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. Premis perniagaan yang terletak berhampiran dengan kompleks perniagaan utama itu menempatkan sebarisan pelbagai perniagaan antaranya kedai dobi, kedai buku dan alat tulis, kedai kek, restoran, salun dan butik kecantikan serta banyak lagi. Pendek kata semuanya ada di satu lokasi yang amat strategik. Terdapat juga bangunan yang menempatkan pejabat-pajabat awam mahupun swasta. Kawasan itu hidup kerana ramai orang yang bekerja di situ. Sudah hampir sepuluh tahun Puan Zainah menyewa di premis itu. Perniagaannya sentiasa menunjukkan perkembangan dan peningkatan walaupun kadar yang sedikit.


Setengah jam kemudian, Puan Zainah sampai semula ke kedai bunganya. Haini segera mendapatkan ibunya.


“Macam mana hari ini? Ada tak pelanggannya?” soal Puan Zainah apabila Haini semakin hampir dengannya.


“Macam biasalah Mama… Along pun dah naik penat dan letih melayan kerenah pelanggan…”


“Itu tandanya ada perniagaan… ramai pelanggan, barulah boleh untung…” tingkah Puan Zainah lagi.


Haini meminta izin ibunya untuk ke kedai buku yang berhampiran. Kadang-kadang terasa juga bosannya apabila terperap lama di dalam kedai itu.


“Jangan lambat pulak… kejap lagi Mama nak tutup kedai kita ni…” pesan Puan Zainah sebelum Haini melangkah pergi.


Sampai di premis kedai buku itu, Haini terus menuju ke rak yang diletakkan majalah hiburan. Satu majalah diambil lalu diselak satu persatu muka suratnya. Seperti tidak ada muka surat dalam majalah itu yang dapat menarik perhatiannya. Kandungannya lebih tertumpu kepda kisah-kisah dunia artis dan hiburan sama ada dalam atau luar negara. Kadang terasa bosan kerana ceritanya hampir sama setiap bulan, gossip sana gossip sini. Kisah artis bercinta, berkahwin, bergaduh atau bercerai sudah macam biasa keluar pada setiap bulan.


Puas menyelak majalah hiburan, Haini pergi ke rak buku bersebelahannya. Matanya mula meliar mencari judul-judul buka yang menjadi kegemarannya. Pencariannya terhenti seketika apabila terpandang sekeping poster yang tertampal pada sisi rak buku itu. Poster itu berjaya menarik perhatiannya. Poster yang mengiklankan tentang keluaran novel terbaru dengan ilustrasi kulitnya yang sangat memikat.


Novel itu dikarang oleh novelis kegemarannya yang menggunakan nama pena Haiza Najwa. “Kuingin Cintamu” judul yang terus memikat Haini untuk mendapatkan naskahnya. Walaupun dia tidak mengenali penulis itu namun dia sudah ada koleksi hasil garapan penulis kegemarannya itu. Antara judul karya penulis itu yang sudah menjadi koleksi peribadinya seperti Jangan Ganggu Lenaku, Kalimah Jiwa, Sentuhan Cinta, Aku Yang Menanti dan Kumohon Kasih. Dia memang cukup berpuas setiap kali habis membaca novel-novel garapan novelis Haiza Najwa itu. 


Kali terakhir dia membeli novel kira-kira dua bulan yang lalu. Teringin pula hatinya untuk mendapatkan novel yang terbaru itu. Sekurang-kurangnya dia dapat memenuhi masa terluang dengan membaca novel berbanding dengan membaca majalah hiburan yang agak kurang nilai pengajarannya. Haini segera ke rak buku yang mempamerkan ratusan judul novel-novel remaja dan dewasa. Puas diselak namun tidak bertemu apa yang dicari. Melilau juga matanya memerhatikan tajuk-tajuk novel yang berbagai itu. Dia terhenti sebentar apabila didatangi oleh seorang gadis pembantu jualan kedai buku itu.


“Err….boleh saya bantu?” tanya gadis pembantu jualan itu.


“Novel terbaru Haiza Najwa masih ada lagi tak?” ujar Haini seakan putus asa mencari novel tersebut.


Gadis pembantu jualan itu meminta Haini tunggu sebentar sebelum berlalu menuju ke arah belakang. Sebentar kemudian dia muncul semula bersama sebuah novel berjudul Kuingin Cintamu garapan terbaru novelis Haiza Najwa itu.


Gembiranya bukan kepalang. Haini membelek beberapa kali novel itu. Setelah membaca baris-baris terawal novel tersebut, hatinya terus terdetik untuk membaca seterusnya. Haini mengambil keputusan untuk membeli sahaja novel tersebut. Setelah berpuas hati dengan tanda harga di belakang novel itu, Haini terus ke kaunter bayaran.


Keluar sahaja daripada kedai buku itu, Haini terus menuju ke arah premis perniagaan ibunya. Dari jauh nampak jelas papan tanda kedai bunga Sweet Seroja yang berwarna unggu. Sudah hampir jam 6 petang sekarang. Sebentar lagi kedai bunga ibunya akan ditutup. Novel yang baru dibeli tadi dipegang rapi. Sambil berjalan, sempat juga dia menyelak-nyelak helaian novel tersebut. Tidak sabar rasanya dia ingin membaca dan menyelami isi kandungannya. Sampai di kedai bunga terus sahaja Haini masuk ke dalam.


“Hai… Along!” satu suara manja menyapanya.


“Ehh… Kak Lia! Dah lama sampai?” soal Haini  kembali kepada Mislia, sepupunya yang baru sampai dari kampung. Mereka bersalaman dan berpelukan seketika.


“Tadi Kak Lia telefon rumah… Mak Tom kata Along ada di sini jadi Kak Lia terus saja datang ke sini…”


“Baguslah kalau begitu. Boleh tolong Along dan Mama kemaskan kedai bunga ni!” seloroh Haini.


“Apa salahnya… janji ada upahnya!” balas Mislia disambut gelak ketawa dari Haini.


Pandangan Mislia beralih kepada Puan Zainah yang turut memerhatikan gelagat dua sepupu itu. Puan Zainah turut tersenyum.


“Pak Long dan Mak Long apa khabar?” tanya Haini semasa Mislia menghampirinya.


“Alhamdulillah… mereka berdua sihat. Mereka kirim salam banyak-banyak pada Mak Lang dan Along,”


“Waalaikummussalam…” balas Haini pantas.


Banyak juga cerita yang dibualkan petang itu. Sekali sekala terburai ketawa daripada mulut Haini dan Mislia. Kadang-kadang Puan Zainah tumpang senyum sekali. Apabila sesekali bertemu tentu banyak perkara yang mahu dibualkan. Sejak arwah bapa Haini meninggal dunia lima tahun yang lalu, Puan Zainah jarang dapat pulang ke kampung halamannya di Melaka bersama anak-anaknya.


“Kak Lia datang dari jauh-jauh ni… tak ada apa-apa buah tangankah untuk Along?” usik Haini lagi.


“Ohh… ada… ada… ambillah buah tangan untuk Along.” ujar Mislia sambil mengeluarkan sebungkus beg plastik.


“Apa bendanya ni… lain macam saja…” tukas Haini.


“Bukalah baru tahu…” sambil terkekeh-kekeh Mislia tertawa.


“Belacan! Cencaluk!... emm… busuklah!” teriak Haini.


Puan Zainah turut ketawa melihat perangai anak gadisnya itu. Mislia terus tergelak besar.


“Ini bukan beli tahu. Mak Long kamu yang buat tahu tak!” ujar Puan Zainah sambil Mislia mengangguk mengiakan kata-kata Puan Zainah.


“Kalau tak ada belacan mana datang sedapnya asam pedas. Kalau tak ada cencaluk kuranglah selera makan…” tambah Puan Zainah lagi.


“Cepatlah kemas, boleh cepat kita balik ke rumah.” sambungnya lagi.
Segalanya sudah dikemaskan. Lantai sudah disapu, sisa-sisa gubahan bunga sudah diisi ke dalam plastik sampah. Pintu kedai sudah dipastikan terkunci rapi. Kemudian mereka bertiga bergerak menuju ke arah kereta yang berada di seberang jalan. Sampai di kereta, enjin dihidupkan. Sebentar kemudian kereta yang dipandu oleh Puan Zainah meluncur laju menuju ke destinasinya.

No comments:

Post a Comment