Tuesday, January 14, 2014

~ MKR BAB 5 : Tatkala King Kong & Monster mula berdamai



“MISHA  balik hari ni? Mama ingatkan, tak jadi balik!” Tegur satu suara. Perlahan-lahan wajah dikalihkan dan seraut wajah lesu itu diperhatikan. Sejurus itu, senyuman mekar  dilempar ke arah wanita yang berkerusi roda.
Tanpa berlengah, kaki dihayun mendekati ibunya. “Mama... kenapa tak tidur lagi?” Gumam Misha lantas menyambut tangan itu lalu dikucup mesra. Dari berdiri, Misha duduk melutut memerhatikan wajah ibu yang semakin pulih dari derita sakit yang bertahun ditanggung.
“Mama rindukan Misha,” aju bibir itu membuatkan Misha kembali tersenyum.


“Misha minta maaf ma, Misha sibuk sejak akhir-akhir ni.” Bohong Misha sambil menundukkan wajah. Benarlah, apabila bibir mengungkap kepalsuan, mata tidak tegar melawan panahan darinya.
“Banyak kerja Misha dipejabat?” Puan Anum masih mesra berceloteh. Tanpa suara, Misha mengangguk! Terbit perasaan bersalah, namun dia tiada pilihan!
“Minta papa naikkan pangkat Misha, kesian anak mama!” Gumam Puan Anum seraya menyentuh kepala yang dilitupi dengan selendang berbunga kecil. Seketika kemudian, usapan lembut seorang ibu hinggap membelai belakang tubuhnya.
“Mama tahu, Misha penat! Banyak kerja yang Misha kena buat di pejabat! Papa cuma ada Misha untuk diharapkan. Lagipun, kalau bukan Misha yang tolong papa uruskan syarikat? Siapa lagi? Betul tak sayang?” Puan Anum berbicara dan Misha terpaksa mengangguk dan mengiyakan!
“Ni, dah makan ke belum? Pergi mandi dan tukar baju tu dulu. kemudian, kita borak-borak! Mama teman Misha makan,” Puan Anum membelai raut wajah Misha yang kelesuan.
“Baiklah ma, Misha mandi dulu!” Misha menegakkan tubuh dan bangkit. Senyuman hambar terbias, rasa bersalah semakin mencengkam jiwa. Ah, dia sudah terlalu banyak membohongi ibunya! Dia tiada kudrat untuk berterus terang, dan dia juga tiada keberanian untuk terus bersikap jujur.
Untuk bercakap jujur,  Misha bimbang kejujuran itu bakal disalah ertikan oleh ibu yang sudah terlalu banyak menderita. Biarlah hal ini tetap menjadi rahsianya! Walau apa pun yang terjadi, Misha nekad tidak akan kembali ke pangkuan bapa yang sudah terlalu banyak menyimbah api kesakitan di hati mama dan juga di jiwa anak tunggal sepertinya!
“Misha, mama terlupa nak tanya! Siapa yang hantarkan Misha tadi?” Puan Anum baru teringatkan perkara yang ingin dipersoalkan. Misha yang baru melangkah setapak dua, menghentikan langkahnya lalu berpaling menghadap wanita itu.
“Tadi tu?” Ujar Misha memohon kepastian. Puan Anum mengangguk lalu menguntum senyum.
“Bos Misha ma..” Luah Misha tanpa sedar.
“Bos?” Ulang Puan Anum sepatah.  Ada rasa aneh yang membelit tangkai hatinya. “Bos mana?” Pertanyaan ibunya itu membuatkan dia gelabah sendiri! Arghh.. dia sudah tersalah cakap!
“Err.. maksud Misha, bos tu... bos department Misha ma. Kami keluar tengok wayang tadi!” Hambur Misha kelam kabut. Nah, buat sekian kalinya dia terpaksa berbohong!
“Oh, tengok wayang!” Angguk Puan Anum merasa lega. “Jadi, kereta Misha tinggal di mana?” Puan Anum semakin galak bertanya. Hairan, mengapa Misha tidak memandu sendiri keretanya? Dan kemana pula hilangnya kenderaan yang menjadi teman setia anak tunggalnya itu.
“Err... err.. kereta, kereta ek?” Misha garu kepala sambil berfikir-fikir! “Ha..  Misha tertinggal di office ma!” Bicara Misha tidak selancar biasa. Dia gugup dan sering kali tersalah menyebut.
Bimbang terus terusan disoal siasat, Misha segera mahu menjauhkan diri. “Ma, Misha mandi dulu iya ma! Dah busuk sangat ni,” ujarnya mahu menyelamatkan diri dari ditebak dengan soalan-soalan yang tiada jawapan jujur darinya.
“Iyalah, pergi mandi! Nanti, mama teman Misha makan! Mujur petang tadi Mak Andak masak lebih!” Ucap Puan Anum seraya menguntum senyum. Apabila anak gadisnya pulang ke rumah, begitulah rutin kebiasaan yang sering dilakukan. Misha yang manja dan nakal itu sering kali menjadi pengubat duka dan laranya. Dialah madu, dia jugalah racun pembunuh!

**
“MISHA... kenapa mama tengok, macam ada yang tak kena dengan Misha?” Soal Puan Anum sambil melihat Misha yang sedang duduk di tepi kolam ikan. Ikan koi yang berenang bebas menjadi santapan anak matanya.
“Mama ada buat salah pada Misha ke?” Ujar Puan Anum ingin tahu.
Bicara terakhir ibunya itu, membuatkan Misha tersentak. “Ma, kenapa mama cakap macam tu? Mama tak pernah buat salah pada Misha!” Hambur Misha seraya bangkit dari duduknya. Puan Anum yang duduk di atas kerusi roda berdekatan gazebo kecil itu didekati.
“Mamalah satu-satunya insan yang paling Misha sayang dan Misha kagum! Tak mungkin mama buat salah pada Misha, kalau Misha yang buat dosa pada mama.. ha.. itu ada betulnya!” Aju Misha seraya tertawa kecil mendegar telahan itu. Mungkin kerana terlalu lama tidak menjenguk ibunya, membuatkan jiwa wanita itu kesepian. Mujur kehadiran Mak Andak, kebajikan ibunya terbela! Dan sedikit sebanyak kesepian itu terubat.
“Pandailah anak mama,” usik Puan Anum tersenyum mesra. Sejurus itu dia kembali bersuara. “Misha... macam mana hubungan Misha dengan papa? Misha marahkan papa lagi?” Puan Anum kembali menduga hati anak gadisnya. Misha yang mendengar pertanyaan itu, melepaskan keluhan berat. Serentak itu juga, kaki dihayun menjauhi ibunya. Pasu bunga kertas dihampiri dan kuntuman yang pelbagai warna dipandang lama.
“Misha, sebagai anak... Misha tak boleh buat macam tu! Sejahat-jahat mana pun papa Misha, dia tetap ayah kandung Misha. Dan Misha satu-satunya zuriat yang dia ada! Zuriat yang diharapkan akan menggantikan tempatnya nanti!” Ucap Puan Anum memujuk hati Misha agar lembut dan kembali memaafkan lelaki itu.
“Mama mengaku yang mama pernah buat silap! Mama hasut Misha bencikan papa, tapi sekarang mama dah sedar! Yang dulu, itu kesilapan papa pada mama! Dan mama tak sepatutnya pengaruhi Misha untuk benci papa!” Hambur Puan Anum bersama nada kesal kerana menghasut dan mempengaruhi Misha agar membenci dan membuang lelaki yang dahulunya pernah menjadikan dia pengemis cinta! Isteri yang tidak dihargai dan bapa yang tidak bertanggungjawab!
“Misha, maafkan papa! Semua tu salah papa pada mama, bukan pada Misha. Sebagai anak, Misha patut hormatkan papa dan sayangkan papa seperti mana seorang anak sayang dan hormatkan bapa kandungnya sendiri! Lagipun, papa sudah tua Misha! Dia hanya ada Misha!” Ungkap Puan Anum masih memujuk hati Misha yang dingin.
“Ma.. Misha dah maafkan papa! Misha dah lupakan semuanya, tapi Misha tak mampu terima papa semula!” Gumam Misha sesudah lama berdiam diri.
“Syarikat tu perlukan Misha, dan papa juga perlukan Misha! Tolong papa bangunkan syarikat tu, hanya Misha yang papa ada!” Pujuk Puan Anum tanpa jemu agar Misha sudi menjawat jawatan yang setaraf dengan kelulusan dan kelayakan yang dimiliki. Bukan terus bekerja di bawah pengawasan individu lain walaupun di syarikat milik keluarga sendiri.
“Ma.. dengan siapa pun Misha bekerja, di mana sekalipun Misha berkhidmat... Misha tetap bekerja ma! Misha mencari pengalaman dan kepuasaan sendiri! Lagipun, Misha tak boleh pandang muka papa. Jadi, cukuplah kalau hubungan Misha dengan papa berjalan seperti biasa! Seperti seorang pekerja dengan majikan!” Gumam Misha panjang lebar tanpa memaklumkan dia sebenarnya tidak langsung bekerja dengan lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya itu.  Bahkan kerjanya hanyalah sekadar pekerja houskeeping di sebuah hotel terkemuka.
“Misha, kenapa Misha degil sangat? Esok mama call papa dan minta papa tukarkan Misha di bahagian admin! Biar Misha belajar selok belok menguruskan syarikat!” Ucap Puan Anum membuat keputusan terbaik untuk anak tunggalnya itu. Sesekali dia perlu bertegas dengan Misha.
“Ma,” seru Misha lembut memujuk.
“Jangan macam tu ma, jangan call papa lagi! Biarlah Misha uruskan sendiri.” Rayu Misha dalam resah. Wajah ibunya ditatap penuh pengertian.
“Misha, mama buat semua ni untuk kebaikan Misha juga.” Pujuk Puan Anum berharap Misha ditempatkan di bahagian yang lebih bersesuai. Bukan di unit operasi hingga memaksa anak tunggal kesayangannya itu terpaksa mengerah keringat saban hari.
“Ma, Misha dah besar ma! Misha tahu apa yang Misha buat! Mama jangan risau ya, nanti kesihatan mama terjejas!” Ucap Misha mahu mamanya tidak terlalu memikirkan tentang dia dan bapanya. Cukuplah hubungan dingin antara seorang anak dan bapanya, tersisip kemas di lipatan hati. Biar dia dan papanya sahaja yang tahu! Mama tidak perlu dikusutkan dengan kebenaran seperti ini.

“Mama harap, Misha dapat ditempatkan di bahagian admin. Mudah papa ajar dan pantau Misha!” Puan Anum masih tidak putus-putus mengharapkan hubungan keduanya kembali terjalin mesra biarpun dia dan lelaki itu sudah terputus kasih.
“Ya, ma.” Sahut Misha tertunduk menahan perasaan bersalah kerana merahsiakan kebenaran yang tersurat. Sedang keduanya berbicara, deringan telefon menyapa halwa telinga. Misha meminta izin untuk berlalu dan Puan Anum pula memutuskan untuk kembali semula ke ruang tamu menonton rancangan TV.


Misha        : Hello?
Elman       : Hello Misha... Assalammualaikum anak papa.
Misha        : Waalaikumusalam. 

Jawapan bersahaja keluar dari kedua ulas bibir merah basah itu. Dari jauh, Misha mengerling kelibat ibunya yang sudah berada di ruang tamu.

Elman        : Anak papa sihat?
Misha        : Alhamdulillah sihat!
Elman        : Papa nak jumpa Misha. Tadi belum sempat papa cakap apa-apa... Misha dah masuk        ke dalam rumah.

Suara lelaki itu kedengaran seperti sedang menahan rasa. Misha masih tekun mendengar.
Dan kerana panggilan itu dia mula terfikirkan sesuatu. Mengapa sejak akhir-akhir ini lelaki itu
sering sahaja menghubungi dan menghamburkan bicara yang sengaja mengundang sisa
simpati dari hatinya.

Misha        : Misha mengantuk, lagipun Misha dah penat.
Elman        : Misha, kerja dengan papa ya?

Tawar lelaki yang memiliki syarikat pengedaran kenderaan mewah itu kembali menghayutkan Misha ke arus simpati. Namun perasaan yang baru terbit, segera diusir pergi. Dia tidak mahu kalah dengan gelora rasa yang menipu perasaannya sendiri.
Misha        : No need! Misha nak berdikari.
Elman        : Misha, papa minta maaf pada Misha. Papa dah berubah sayang!
Misha        : Misha dah lama maafkan papa.
Elman        : Kalau macam tu, Misha kerja dengan papa ya sayang!
Misha        : Tak mengapalah papa... Misha selesa dengan apa Misha lakukan sekarang ni.
Elman        : Misha... esok papa nak jumpa Misha. Boleh ya nak.
Misha        : Misha busy.... Misha sibuk dengan kerja! Misha minta maaf pa!
Elman`   : Janganlah macam tu Misha. Papa betul-betul nak jumpa Misha. Berbual dan          bersembang        macam dulu-dulu nak!
Misha        : Maaf pa. Sejujurnya, Misha belum bersedia nak jumpa papa lagi. Misha minta maaf.        Assalammualaikum pa. Misha letak dulu!

Talian diputuskan dan telefon bimbit itu dilekapkan ke dada. Entah mengapa rasa hiba hinggap ke pinggir hati. Tidak tegar bersikap dingin, namun sebahagian hati tidak merelakan hubungan yang dahulu musnah kembali terjalin.

“KENAPA dia?” Megat Danial menghabur rasa kecewa yang mencengkam hati. Argghhhhh!!!! Meja konkrit ditumbuk sekuat mungkin! Kesan melecet sudah kemerah-merahan! Koyakan pada kulit jari jemarinya tidak dihiraukan. Sungguh dia kecewa dengan apa yang dilihat sebentar tadi!
Megat Danial mendongak menancap dada langit yang terbentang luas! Kosong! Benar, perasaan kosong itu kembali menghambat ke dasar hati. Tiada ketenangan yang mampu dirasai, andai hati sudah tidak mampu melepaskan segala dendam dan segala kesakitan yang dahulu memenuhi ruang waktu kehidupannya.
“Di, kau kenapa Di?” Danny yang baru muncul mendekati sepupunya itu. Hairan melihat Megat Danial kembali disapa sebuah kesedihan. Raut wajah itu resah, jiwa itu kelihatan gundah!
“Kau ada masalah ke Di?” Soal Danny sambil melabuhkan punggung di kerusi batu ditengah-tengah halaman yang ditanam dengan rumput mutiara. Sesekali dia kerling raut sepupunya itu. Tegang!
“Kalau ada perkara yang kau nak share dengan aku, just cakap! Aku boleh dengar!” Luah Danny sekali lagi. Megat Danial menghambur keluhan panjang! Kesal kerana terpaksa berdepan dengan individu yang pernah memberi kesan pahit dalam perjalanan hidupnya.
“Kau gaduh dengan budak houskeeping tu lagi erkk?” Tebak Danny sebaris. Sebatang rokok dikeluarkan dari kotak lalu lighter dinyalakan, dan rokok itu disedut sebelum dilepaskan kembali. Serentak itu juga kepulan asap naik ke udara.
“Kau kalau tak merokok depan aku, tak boleh ke?” Megat Danial yang sedang dihambat amarah kembali dipagut baran.
“Apasal pula?” Danny menyoal tidak puas hati apabila Megat Danial cuba merampas rokok yang baru terluak sedikit. Dengan pantas, tangan dilarikan ke belakang tubuh! Menyembunyikan apa yang patut!
“Haram kut!” Gumam Megat Danial pendek namun cukup tegas. Sejurus itu, tawa Danny meletus kuat! Wajah cerah itu sudah bertukar kemerah-merahan! Tidak menyangka, sepupunya itu tahu halal dan haram! Oh, lawak dunia!
“Apasal kau gelak?” Bentak Megat Danial rasa terpukul dengan gelak tawa dari manusia bernama Danny. Sudahlah merokok, kemudian mencemarkan alam sekitar dan kemudian membahayakan kesihatan orang lain tanpa sedar.
“Taklah... aku gelak bukan sebab apa, cuma ayat kau tu tak boleh blah!” Gumam Danny bersama sisa tawanya.
“Apasal?” Megat Danial bercekak pinggang! Sakit hati melihat reaksi Danny yang sedemikian. Apa? Bodoh sangat ke ayat yang diucapkannya tadi?
“Kau pakai rantai, dengan subang tu? Tak haram ke?” Sindir Danny masih ketawa lucu. Hessyy... pandai Megat Danial berjenaka!
“Haram!” Sahut Megat Danial sepatah.
“Tahu pun haram! Yang kau pakai apasal?” Soal Danny balas membalas.
“At least aku tak angkut perempuan!” Pertahan Megat Danial bahawasanya dia masih kecil dosanya berbanding Danny yang sudah kebaratan.
“Ustaz aku cakap, dosa orang tinggal solat lebih besar dari dosa orang berzina tahu!” Tukas Danny melawan hujah.
“Oh sebab tu kau berzina?” Hambur Megat Danial acuh tak acuh. Punggung kembali dilabuhkan, buku lima yang tercedera tadi diperhatikan. Auwwww pedih! Kesan melecet tadi baru mula terasa.
“Hehehe.. janganlah cakap macam tu beb! Hina sangat aku dengar!” Tutur Danny tersengih-sengih.
“Lantak kaulah! Kalau kau susahkan hidup aku lagi? Jangan harap aku nak tolong! Kau jawablah sendiri di padang masyar nanti!” Ucap Megat Danial sambil membelek-belek luka.
“Hoh? Padang Masyar? Mak aihhhh jauhnya! Nak jawab dengan atuk dengan nenek kita tu pun, dah tak terjawab! Ni kan pula di akhirat sana,” gerutu Danny bersama raut wajah yang berkerut.
“Tak payah nak takut pada atuk dengan nenek! Takut pada Tuhan!” Sampuk nenek dari jauh. Keduanya tersentak, dengan pantas Danny menjatuhkan puntung rokok lalu dipijak segera. Kedua tangannya pula mengibas-ngibas udara, biar asap rokok terbang menghilangkan diri. Megat Danial pula terkocoh-kocoh memasukkan rantai ke dalam baju dan menarik hujung rambut melindungi cuping telinga yang dipakaikan subang.
“Nenek kau datang!” Bisik Danny sebaik sahaja anak matanya menangkap kelibat orang tua itu semakin menghampiri kedudukan mereka.
“Nenek kaulah!” Balas Megat Danial juga bernada perlahan.
“Di... tanggalkan rantai dan subang tu sekali,” nenek menghulur tangan. Tapak tangan sudah terbentang di ruangan mata.
“Perlu ke nek?” Megat Danial teragak-agak.
“Minta Di, haram lelaki pakai perhiasan perempuan!” Aju nenek menerangkan halal haram perhiasan yang sememangnya dicipta untuk kaum perempuan kini diperagakan oleh cucu lelakinya pula.
“Tapi ni design untuk lelaki nek!” Protes Megat Danial masih enggan menurut.
“Design untuk lelaki ke.. pondan ke... khunsa ke.. tetapi aksesori ni milik orang perempuan! Perhiasan untuk orang perempuan! Haram digunakan oleh orang lelaki.” Gerutu nenek membuatkan Megat Danial kehabisaan bicara. Menyesal pula kerana tidak terus pulang ke rumah daripada singgah dan bermalam di rumah nenek dan datuknya itu! Lambat-lambat, rantai yang bergayut di leher ditanggalkan dan subang lekap ditarik berhati-hati!
“Nah,” Megat Danial meletakkan aksesori itu di atas tapak tangan neneknya. Mata tidak lepas-lepas memerhatikan kedua-dua aksesori yang menjadi kesayangannya itu.
“Terima kasih, macam ni baru cucu nenek!” Ucap Puteri Aisyah bersama senyuman manis. Namun senyuman hambar membias di pinggir bibir Megat Danial.
“Danny pula.... kotak rokok tu beri pada nenek!” Danny menjadi sasaran.
“Eh, mana ada! Danny tak hisap rokoklah!” Sangkal Danny enggan mengakui hakikat sebenar. Megat Danial tersenyum sumbing, akhirnya tabiat kurang sihat Danny terhidu juga oleh neneknya.
“Asap ni datang dari mana? Dari planet marikh? Ke dari asap kapal terbang?” Sinis nenek mencuit hati Megat Danial. Tanpa sengaja, dia ketawa lucu.
“Yelah kut! Mana Danny tahu,” gumam Danny masih enggan mengakuinya. Bahu itu terjungkit menafikan! Riak wajah kelihatan bersahaja.
“Danny.. beri pada nenek! Lagi satu, nenek dapat tahu yang Danny suka bawa perempuan ke rumah? Betul ke tidak?” Soal Puteri Aisyah semakin tegas. Megat Danial membungkam diri, barangkali rahsia sepupunya itu sudah pecah.
“Mana ada nek, fitnah semua tu!” Sangkal Danny bersama wajah pucat lesi.
“Nenek nak kahwinkan kamu Danny,” luah Puteri Aisyah. Megat Danial terkedu manakala Danny sudah tersentak.
“What? Kahwin? Tolonglah nek, belum masanya lagi!” Tolak Danny enggan menurut.
“Kalau tak nak kahwin, buang tabiat keji tu! Kalau nenek dapat tahu, Danny buat perkara tak senonoh tu lagi, nenek sendiri hantar orang pejabat agama tangkap Danny!” Hambur Puteri Aisyah sebelum berlalu. Keduanya terdiam tanpa suara. Hanya pandangan sahaja berkelip-kelip memerhatikan orang tua itu melangkah pergi.



No comments:

Post a Comment