Sunday, January 12, 2014

~ MKR : BAB 1 (MINI NOVEL)


Satu karya yang pernah saya printing sekitar pertengahan oktober 2013 :)

“Habis kau nak buat apa dengan budak ni? Nak humban dia keluar? Atau kau nak jadikan cleaner bilik kau? Ke... kau nak jadikan dia ni wife kau?” Soal Danny bergurau senda ketika Megat Danial mula dipagut kebaranan. Sengihan Danny tersunggih nakal di pinggir bibir.

 Megat Danial yang melihat segera mengetap bibir, terasa panas hati dengan senda sepupunya itu? Langsung tidak boleh diharap, dia suruh menyamar sebagai majikan. Lain pula jadinya! Jiwa miang Danny tetap hidup walau melihat insan tidak ada apanya ini! Tiada citarasa ke apa?


“Oit.. aku tanya kau! Jawablah!” Ucap Danny lagi. Berbisik namun bisikannya tetap mampu menujah ke pendengaran Misha yang berdiri di sudut tepi meja kerja tertera perkataan CEO.
“Kau pecat dia!” Arah Megat Danial mudah. Berang melihat pekerja housekeeping itu tertidur di kamar peraduanya.
“Sekarang!” Tekannya lagi lalu Danny yang mendengar terus sahaja menjengil mata! Mudah benar sepupunya itu membuat keputusan! Kalau beginilah jadinya, mahu lingkup business datuk mereka!
“Mana boleh pecat orang sesuka hati walaupun ni company atuk kita! Mencari nahas namanya!” Selar Danny lagi. Tidak berani menyalah gunakan kuasa walaupun kadang-kala dia bertindak melulu apabila mempunyai kepentingan untuk berbuat sedemikian.
“Habis? Kau nak buat apa dengan budak ni?” Soalan Megat Danial buat Danny tergelak kecil. Kepala di geleng sekali dan senyuman diukir mesra.
“Di.. kau ni kenapa? Hal kecil macam ni pun nak ambil serius!” Danny bersuara. Selepas itu dia menyambung semula bicaranya, ada hasutan nakal yang menujah minda.
“Macam-macam boleh dibuat pada budak ni! Aku ada idea?” Bisik Danny dekat di cuping telinga lelaki maskulin berusia 27 tahun itu. Sebaya dengan dirinya!
“Apa?” soal Megat Danial bersama kening yang terjongket tinggi. Jauh di sudut hati lelakinya, dia merasakan Danny berniat songsang ke atas gadis yang sedang berdiri di hujung sana. Gadis yang tampak naif namun tidak mudah dipersenda!
“Aku rasa aku perlukan dia malam ni.” Ujar Danny bersama pandangan bernafsu serakah. Megat Danial tersenyum mengejek, sudah dijangkakan sejak awal lagi. Sejak lelaki itu mula melayan mesra gadis tukang kemas bilik ini.
“Berapa ramai perempuan yang kau nak heret ke katil? Tak puas lagi?” Selar bibir Megat Danial menyindir sepupu yang hilang maruah dan kesucian sejak lewat belasan tahun lagi. Entah dimana silapnya, dia tidak pasti. Sedar-sedar sahaja tabiat Danny yang gemar bertukar pasangan akhirnya terbawa-bawa hingga ke hari ini. Dan lebih memburukkan keadaan, dirinya terpaksa bersubahat melindungi segala perilaku tidak senonoh Danny. Arghh... sungguh dia bosan dengan semua ini!
“Syurga dunia beb! Mana pernah puas!” Sahut Danny seraya menggigit bibir. Megat Danial mencebir, sepantas itu dia membuang pandangan ke arah luar bangunan yang berdindingkan kaca. Kenderaan yang bertali arus melalui lebuhraya itu diperhatikan dari bangunan pejabat berketinggian 30 tingkat.
“Syurga dunia? Lepas kau hidap AIDS, kau akan jumpa syurga dunia yang hakiki!” Sinis Megat Danial mematikan hasrat Danny untuk menyunting bunga ‘Melor’ sebagai madu makan malamnya nanti.
“Kau ni Di... tak sportinglah!” Rungut Danny yang mesra menyapa Danial dengan sapaan Di.
“I’m not joking Danny... once upon the time.. you will regret!” Luah Megat Danial kedengaran perlahan menembusi halwa telinga Danny. Menakutkan dan cuba memberi gambaran sebuah kebenaran pahit yang bakal berlaku pada masa akan datang! Lima tahun, sepuluh tahun atau berbelas-belas tahun dari sekarang pasti Danny akan membalas harga kejahatannya yang dilakukan pada hari ini!
“Kau kata apa ni Di? Rileks la... kita muda lagi! Aku ni bukanlah bodoh sangat... aku ada protection lah!” Balas Danny menghamburkan punca disebalik keberaniannya mengamalkan tabiat hidup sedemikian. Megat Danial yang mendengar tersenyum sumbing, bicara Danny seolah-oleh dia tahu apa yang sedang dilakukannya.
“Jangan menongkat langit, Danny... kalau langit runtuh! Kau pun mati!” Gerutu bibirnya bersama sebuah kiasan. Danny diam sejenak berfikir tentang makna patah bicara sepupunya itu.
“So.. apa keputusan Encik berdua?” Misha yang sudah bosan mula menghamburkan bicara. Sedari tadi lagi melihat kedua-duanya berdiskusi tentang masalah melibatkan dirinya hinggalah kepada tazkirah lewat-lewat petang sebegini!
“Oh.. Cik Melor... ermm I mean Cik Misha.” Danny segera menoleh bila Misha sudah bersuara. Megat Danial pula sekadar tercegat tanpa mahu melihat. Meluat benar pada Misha yang dikira sebagai pekerja yang malas dan suka mengambil kesempatan. Dia benar-benar tidak menyukai sikap lepas tangan manusia seperti itu.
“Saya nak balik, hampir satu jam saya berdiri di sini! Telinga saya dah letih dengar masalah Encik berdua. So, Encik nak buat apa pada saya? Nak pecat atau masih perlukan saya di sini?” Soal Misha tanpa berselindung. Danny terpempam dengan sikap berterus terang Misha. Manakala Megat Danial pula sudah menjeling tajam!
“Cepatlah, saya dah lambat ni! Lagipun, sekarang saya tengah rehat! Jangan curi masa saya,” rungut Misha lagi. Danny kembali tersentak! Pertama kali bersua muka dengan seorang pekerja yang begitu tidak takutkan dirinya. Lain daripada yang lain! Awesome!
“Kalau awak tak sabar nak berambus, silakan! Jangan datang dan tunjuk muka awak pada saya lagi!” Megat Danial membuat keputusan dan Danny yang mendengar segera meredakan suasana tegang yang melanda pejabat datuk mereka lewat-lewat petang begini.
“Di... sabar kejap!” Tahan Danny mendekati Megat Danial lalu berhadapan sepupunya yang bersikap diktator. Mengalahkan pentadbiran Hitler.
“Aku benci dengan perempuan tak tahu salah sendiri, dan sombong tak bertempat!” Sinis lontaran kata-kata itu menjadikan Misha yang mendengar bertambah hilang sabar.
“Behave yourself Encik Danial!” Jerit Misha di tengah-tengah ruang pejabat sederhana besar itu. Dan Megat Danial yang rasa tercabar segera melampiaskan amarahnya.
“Berambus!” Usirnya tanpa belas. Jari telunjuk tepat terarah ke muka pintu manakala raut wajah Misha yang sudah berona merah dijeling sekilas.
“Fine! Saya akan berambus, tapi satu hari nanti...  awak juga akan rasa terhina di halau sebegini! Ingat tu!” Balas Misha lantas mengorak langkah meninggalkan kamar yang menyaksikan pertelingkahan dirinya dengan seorang tetamu hotel yang cukup angkuh dan bongkak!
“Whatever!” Ungkap Megat Danial membalas hamburan kata dari Misha.
Lima minit berlalu, Danny masih kaku tanpa bicara. Masih terpempam dengan kata nekad sepupunya itu. Manakala sepupunya, Megat Danial pula menghela nafas lega. Satu beban masalah dan kebenciannya sudah disisih pergi.
“Puas hati aku!” Ucap Megat Danial bersahaja. Nafas dihela perlahan dengan penuh ketenangan! Mata dipejam  erat menikmati kedamaian yang kembali hadir sesudah sebuah kebencian dihalau pergi.
“Sampai bila kau nak benci perempuan?” Tiba-tiba Danny bersuara. Kedamaian yang baru bertamu terus sahaja melarikan diri. Perlahan-lahan Megat Danial membuka mata, wajah sepupunya itu direnung tanpa berkelip. Sepertinya Danny cuba mengungkit perihal yang meninggalkan bekas di hatinya suatu ketika dahulu.
“Sampai bila Di? Sampai bila?” Tokok Danny perlahan namun penuh kelembutan. Mencungkil rasa yang bermukin  di hati sepupu juga merangkap teman baiknya sejak kecil lagi. Megat Danial yang dikenali cukup anti pada kelompok manusia bernama wanita, begitu membenci hiasan dunia yang paling indah itu. Berbeza pula dengan dirinya, yang gemar mendampingi wanita. Rengek manja, lenggang lenggok dan kasih sayang seorang wanita cukup-cukup didambakan. Hingga mendorong dirinya terjebak ke dalam aktiviti tidak sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sampai bila-bila!” Sahut bibir itu perlahan namun ada tegasnya. Sekali lagi anak mata dilarikan ke arah kereta yang bertali arus melalui lebuhraya di bawah sana.
“Cukup-cukuplah Di... tak semua perempuan jahat! Tak semua perempuan kejam!” Nasihat Danny didengar acuh tak acuh. Dirinya tiada kepentingan untuk mendengar nasihat serupa itu.
“Kerana bukan ‘semua’ itulah membuatkan aku bertambah membenci!” ucap Megat Danial perlahan bersama rasa yang sukar diungkapkan dengan perkataan. Sakit dan seksa yang pernah ditanggung oleh dirinya dahulu cukup-cukup membuatkan kasih sayang yang ada untuk wanita terhapus sebegitu sahaja.
“Sampai bila kau nak berdendam ni, Di? Dia dah dapat hukuman, dah terhukum pun! Takkan kau tak dapat maafkan dia lagi?” Danny cuba memohon agar Megat Danial melepaskan sahaja segala dendam yang bersemadi di lubuk hati itu melalui sebuah kemaafan! Itu mungkin bakal menjadikan Danial yang mati hatinya, kembali hidup berjiwa.
“Senanglah kau cakap!” Bidas lelaki itu membuatkan Danny terdiam. Biarpun bukan dirinya yang melalui segala penderitaan yang ditanggung sepupunya itu, namun dia berharap Megat Danial dapat melupakan semuanya dan memulakan hidup baru tanpa rasa dendam.
“Aku bukanlah manusia yang baik, tapi aku nasihatkan kau... buanglah ego dan dendam kau pada dia. Dia dah menyesal!” Aju Danny masih cuba menduga hati lelaki itu.
“Sudahlah Danny.. aku tak nak dengar apa-apa lagi pasal dia! Enough!” Tekannya mematikan perihal topik yang sedang dibicarakan. Sekali lagi dirinya tewas mematikan hujah Megat Danial yang lebih petah mematahkan segala ucapan balasnya!


**

“Encik Danial... awal balik? Selalunya dah lewat malam baru sampai ke rumah!” Sambut pembantu rumah berketurunan melayu siam itu kedengaran ramah menyapa dia yang baru tiba di muka pintu. Tanpa disuruh, beg kerjanya digapai lalu dijijing sama.
“Encik dah makan? Kak Su ada masakkan lauk kegemaran Encik Danial.” Pembantu yang dikenali sebagai Kak Su masih rancak bertanya itu ini. Hanya Megat Danial sahaja diam kaku tanpa sepatah kata.

“Kalau Encik tak ada selera, Encik rehatlah dulu! Kalau nak makan, beritahu pada Kak Su. Kak su sediakan nanti!” Gumam Kak Su mula menyedari mood majikannya kurang baik, tidak seperti selalu. Tanpa balasan mahupun sebarang respon dari Megat Danial, Kak Su segera menjauhkan diri dari lelaki yang sukar ditebak hatinya. Marahkah.. sedihkah? Dia sendiri tidak tahu, dan tidak pasti!  Apa yang diketahuinya, lelaki itu seperti manusia tidak berjiwa! Mati dan keras kaku!
Masih memikirkan bait-bait bicara Danny sewaktu  di bilik pejabatnya tadi, Megat Danial segera menghambur keluhan berat. Benar, dunianya sepi dari rasa yang pelbagai. Benar, jiwanya kosong tanpa perisa rasa bahagia. Ya, benar! Sudah terlalu lama dia hidup di dalam dunia penuh kesakitan!  Perit dan kepedihan! Begitu payah dan sukar sekali kelukaan itu untuk dirawat. Dan setelah luka hampir sembuh, dia kembali berdepan dengan hakikat yang amat payah ditelan. Arghh, dia benar-benar buntu!
Untuk apa mereka bertemu lagi andai kepedihan melatari hati yang belum benar-benar pulih? Suram dan gelita hidupnya, diredah bersendirian! Mengapa sesudah dia dilimpah cahaya kemewahan yang tiada tolok tandingnya, dia harus mengakui sebuah kepahitan itu? Arghhhhh... tak guna! Satu tumbukan singgah ke permukaan meja kaca. Pecah dan berderai!
“Encik, kenapa?” Kak Su datang tergesa-gesa. Bimbang tatkala deraian kaca pecah menyapa pendengarannya. Segala kerja yang dilakukan ditinggalkan demi melihat majikan yang dirundung masalah itu.
“Tak ada apa-apa!” Tanpa jawapan pasti, Megat Danial bangkit lalu mengatur langkah menuju ke kamarnya. Meninggalkan Kak Su yang sudah bertahun menghamba diri di dalam rumah agam ini memandang dirinya tanpa berkelip.
Langkah demi langkah digagahi jua, anak-anak tangga didaki satu persatu. Potret keluarga yang tergantung di sudut dinding berhampiran tangga diperhatikan satu persatu. Ada datuk, ada nenek, ada ibu dan ada bapa! Ada adik perempuan dan ada juga seorang gadis sunti berstatus kakak. Serentak itu, rasa rindu menggebu ke hati. Sungguh, dia merindui kesemuanya! Namun kerinduan itu tidak pernah terubat setelah semuanya dirampas oleh seorang wanita! Hati yang hiba kembali membara! Ah, tidak sekali-kali kata maaf itu terlakar di ulas bibirnya.  Kata-kata maaf itu, tidak mungkin ada untuk wanita itu lagi.
Sedang asyik melayani hati yang lara, satu pesanan ringkas masuk ke dalam inbox. Gajet terbaru keluaran Samsung digapai dan pesanan itu dibaca. Dari Danny, sepupunya itu memaklumkan agar dirinya tidak lupa akan majlis makan malam yang diadakan oleh  datuk dan nenek mereka.

Sejurus membalas pesanan, Danial segera melangkah masuk ke dalam kamar. Serentak itu rasa rindu diusir agar kesakitan yang cuba merenggut tenangnya.

“DANIAL, kenapa tak makan?” Suara itu berjaya meleraikan lamunan yang mula bersulam dengan sebuah ingatan masa dahulu.
“Makanlah, favourite Di kan?” Usul nenek membuatkan bibirnya tersenyum segaris.
“Di, tak ada selera!” Sahut Megat Danial menolak pinggan yang masih tidak disentuh sedikit ke hadapan.
“Kenapa pula? Tak sedap ke?” Tebak nenek bernada kecewa.
“Taklah, Di tak ada selera nek!” Gumam Danial menerangkan seleranya tidak begitu ada sejak akhir-akhir ini.
                “Tak sihat ke? Nanti nenek teman Di ke klinik!” Usul nenek yang cukup bimbang membuatkan Danny yang sedang mendengar terus sahaja tersengih. Namun suapan masih diteruskan walau wajah sedikit pun tidak berganjak dari menancap pinggan yang masih penuh.
                “Di sihat nek, mungkin kurang rest! Oh ya, ada apa nenek panggil kami?” Megat Danial mengubah topik perbualan. Nenek dan datuk yang sudah selesai menjamu selera tersenyum sesama sendiri.
                “Ha’a.. ada apa Atuk dengan Nenek panggil kami ni?” Soal Danny pula. Hairan melihat hanya mereka yang hadir. Selalunya  upacara makan beramai-ramai pasti melibatkan kaum keluarga yang lain! Pak cik dan mak cik yang tidak disukai perangainya!  Dan sepupu sepapat yang menjengkelkan itu! Namun mereka tidak muncul pula hari ini! Aneh!
                “Sebenarnya Atuk dan nenek dah buat keputusan penting!” Ucap Puteri Aisyah bagi pihak suaminya yang sering sahaja jatuh sakit sejak akhir-akhir ini.
                “Keputusan apa pula ni nek?” Megat Danial pula mencelah.
                “Hotel dan syarikat yang atuk dan nenek ada... akan diserahkan kepada kamu berdua.” Ucapan itu membuatkan Danny yang sedang meneguk minuman tersedak. Manakala Megat Danial yang sedang memotong daging kambing kepada cebisan kecil, terpelanting entah kemana. Terkejut!
                “Dah, kenapa kamu berdua ni? Macam tak suka aje?” Nenek menyoal penuh rasa curiga. Wajah cucu-cucu yang boleh diharapkan itu diperhatikan silih berganti.

                “Eh, bukan tak suka nek!” Sahut Danny seraya cuba meredakan rasa pedih di kerongkong dengan usapan lembut di pangkal leher.
                “Habis tu?” Atuk pula menyoal ingin tahu.
                “Tuk.. Nek..” Seru Megat Danial perlahan-lahan.

                “Kenapa atuk dan nenek buat macam ni? Nanti, apa pula kata auntie dan uncle! Mereka tu anak nenek, kami ni taraf cucu aje!” Sambungnya menerangkan kedudukan mereka berdua di dalam salah silah keturunan Megat Aiyub.
                “Entah nek, ni.. cousin kami yang lain tu macam mana pula? Tak pasal-pasal, tuduh kami bodek nenek dengan atuk!” Sampuk Danny turut memikirkan perihal yang sama.
                “Suka hati atuklah! Hotel dan syarikat ni milik atuk dan nenek, maka tak salah kalau atuk serahkan kepada yang betul-betul bersungguh menguruskannya!” Aju lelaki tua itu menjadikan kedua-duanya senyap tidak mampu berkata apa.
                “Terima je, kan mudah!” Tokok nenek pula. Dan Megat Danial segera menggeleng lalu kembali bersuara.
                “Nek.. kalau boleh Di tak nak jadi macam ni nek! Tak mahu sepupu sesama sepupu bergaduh pasal hal ni. Dan lebih teruk lagi, kalau auntie dan uncle dapat tahu! Teruk jadinya nanti,” ucap Megat Danial menerangkan kemungkinan buruk yang bakal berlaku andai kehendak datuk dan neneknya ini sampai ke pengetahuan adik beradik bapa mereka.
                “Tahu tak apa... Danny ni yatim piatu nek! Di tak apalah! Dia anak yatim, belum piatu lagi! Kalau terjadi apa-apa, siapa nak backup kami?” Sampuk Danny memikirkan kemungkinan yang terpaksa ditanggung gara-gara melangkaui insan yang sepatutnya.
                “Jangan risau pasal tu... atuk dan nenek adil! Atuk kamu ni dah siapkan pembahagian harta untuk mereka! Tentang syarikat dan hotel yang kita ada, memang atuk tak akan serahkan kepada sebarang orang. Kalau boleh, atuk mahu lihat legasi yang atuk tinggalkan akan terus berkembang dan maju! Bukan mundur dan hilang dengan sendirinya!” Terang datuk panjang lebar.
                “Tapi tuk..” Megat Danial mahu menolak namun nenek memintas.
                “Jangan tapi-tapi lagi, syarikat dan hotel tu akan dijaga oleh kamu berdua! Ini amanah yang atuk dan nenek serahkan kepada kamu! Jangan khianati kepercayaan kami!” Pesanan itu membuatkan keduanya saling berpandangan.

“Keputusan atuk muktamad! Kamu berdua wajib menguruskan syarikat dan juga hotel yang atuk bangunkan dahulu. Wajib, tiada alasan lagi!” gumam Megat Aiyub membuatkan keduanya terus sahaja terdiam tanpa sepatah kata. Kalau sudah itu yang diputuskan, apa lagi yang mampu mereka lakukan selain menurut tanpa membantah! 

            “Tapi kenapa tergesa-gesa sangat nek, tuk?” Danny masih tidak berpuas hati segera disoal siasat. Dia benar-benar ingin tahu!

“Sudah, lepas makan masuk ke bilik kerja atuk!” Pesan Megat Aiyub seraya bangkit meninggalkan meja makan. Megat Danial dan Megat Danish seling berpandangan, dan tidak lama kemudian masing-masing menjungkit bahu dan kembali menghabiskan makanan yang masih beluk luak.



Anak punai anak merbah
Terbang turun buat sarang
Anak sungai pun berubah.
Ini pula hati orang…
Mengapa dikenang..


Asal kapas jadi benang..
Dari benang buat baju
Barang lepas jangan kenang..
Kalau kenang melara rindu.



“Lagu atuk kau! Old school gila!” Omel Danny menyapa pendengaran Megat Danial yang sedang termangu di atas kerusi. Sesekali, Danny dikerling  sepupunya dari jauh. Masih menghadap ke luar tingkap menikmati angin malam yang berdesir lembut.

            “Sakit pula telinga aku ni!” Pelipus diurut perlahan dan ulasan sepupunya itu masih dinanti.

            “Biarlah, dah atuk kau hidup zaman P. Ramlee. Takkan dia nak dengar lagu Linking Park pula?” Sahut Danial kembali menancap susunan fail yang bertimbun. Lagu nyanyian Saloma masih lagi diputarkan di corong radio. Danny sudah menekup telinga. Meluat benar dengan alunan irama klasik. Tidak pula bagi Megat Danial, dia masih lagi beriak selamba. Masih bertenang menanti Megat Aiyub datang mengkhabarkan amanatnya.
                “Iyalah, tapi old school sangat kut! Sakit telinga aku,” omel Danny masih tidak berganjak dengan pendapatnya itu.
                “Biarlah atuk nak layan feeling... nak imbas zaman muda mudi dia dulu-dulu... bagilah chance!” Komen itu terhambur bersahaja. Tidak lama kemudian, Danny kembali berbicara.
                “Di.. aku hairanlah!” Ucap Danny mula mengalih posisinya. Dari menghadap cermin kaca, lelaki itu berpaling dan menyandar tubuh ke dinding lalu menancap raut wajah Megat Danial.
                “What?” Soal Megat Danial sepatah. Danny.. cakap selalu sahaja mahu kedengaran suspen!
                “Kenapa atuk serahkan semuanya pada kita? Apa dosa kita” soal Danny sepertinya dia manusia suci tanpa dosa.

“Manalah aku tahu...” Danial menjungkit bahu. Dia sendiri tidak pasti!

                Ketika mereka bersoal jawab, daun pintu kedengaran ditolak dari luar. Kedua-duanya menoleh dan wajah tua berkedut itu tersapa di ruang mata.
                “Mengantuk?” Soal atuk sepatah.
                “Taklah tuk, malam masih muda!” Sahut Danny bersama sengihan.
                “Malam tak pernah tua.. tak pernah muda!” Balas Megat Aiyub bersahaja. Terus sahaja mematikan sengihan Danny. “Nak bergurau pun tak boleh!” selarnya dalam hati.
                “So.. kenapa atuk panggil kami?” Danial pula menyoal apabila melihat datuknya sudah melabuhkan punggung di kerusi berspan tebal itu.
                “Macam inilah Danial.. Danny... ni dokumen pindah milik. Kamu berdua tanda tangan dan secara automatiknya kamu berhak ke atas semuanya!” Gumam Megat Aiyub membuatkan keduanya membuntang mata.
                “Kamu berdua ni kenapa? Atuk bagi harta pun macam tak sudi aje?” Megat Aiyub semakin hairan.
                “Tuk, atuk kasi pada Di ajelah.. Danny makan gaji pun tak apa!” Danny cuba mengelak. Danial menjegil mata, ah dia tidak setuju andai dia yang harus bersusah payah bersendirian menguruskan perniagaan orang tua ini. Danny juga harus dibebankan sama!
                “Mana boleh! Kau kena sain jugak!” Protes Danial tidak berpuas hati.
                “Aku tak bijak macam kau! Kau ajelah yang uruskan!” Tolak Danny bersama sebaris kata. “Lagipun SPM kau 9A, SPM aku 7A aje. Aku tak pandai!” Alasan dihambur dengan niat perlantikannya segera ditarik semula.               
                “Banyaklah, kau tu Ekonomi dapat A aku pula dapat F. Terus tak masuk dalam slip keputusan!” Sahut Megat Danial mengingatkan subjek yang pernah menjadi kebenciannya.
                “Tak naklah, kau ajelah yang ambil.” Danny tetap mahu menolak.
                “Ah, tak mahu aku!” Megat Danial pula enggan mengalah!
                “Sudah! Sudah! Dua-dua tanda tangan dokumen ni!” Sergah Megat Aiyub mematikan pertelingkahan keduanya.


p/s: maaf atas kekurangan :)

No comments:

Post a Comment