Saturday, January 11, 2014

~ Datang Dengan Cinta { Bab 1}



HAINI membelek-belek sepucuk surat yang baru diterima. Dia tidak sabar untuk membuka sampul surat yang berwarna pink itu. Didakapnya surat itu beberapa kali. Gembira hatinya bukan kepalang.

“Suka sangat Along pagi ni, tentu surat dari abang Jo!” usik Boboi yang baru berusia sembilan tahun itu.

Haini segera mengalihkan pandangannya ke arah adik bungsunya itu. Senyumnya semakin melebar.

“Err… adik Along dah mandikah belum?” soal Haini semula.

“Alah… lecehlah Along ni…,” jawab Boboi sambil meninggalkan Haini yang masih lagi memegang sampul surat yang berwarna pink itu.



Gadis yang berusia 19 tahun itu kemudian berlalu menuju ke sofa di ruang tamu. Haini menyandar di sofa lalu membuka sampul surat di tangannya.

Sudah hampir dua bulan Johari tidak melayangkan surat untuknya. Kehadiran surat itu sudah cukup mengubat segala rindu yang bersarang di jiwa saat itu. Rindunya terhadap lelaki itu semakin menebal. Wajah Johari mula mengapung di ruang mata.

Hatinya semakin berdebar. Haini bagaikan tidak percaya apabila menatap isi kandungan surat itu. Suasana bagaikan bertukar rentak. Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapakah Johari tiba-tiba berubah hati?  Benarkah kau berubah hati tapi mengapa? Mengapa?

Haini cuba menatap sekali lagi bait-bait kata yang terungkap di dalam surat itu. Baris-baris terakhir surat itu sungguh melukakan hati perempuannya. Sukar baginya untuk mempercayai bait-bait kata yang tercatat di situ. Ternyata hatinya semakin terluka. Kau memang kejam Jo… kau memang kejam!

“Sayang… abang terpaksa pergi jauh dari daerah ini…abang pergi demi kebahagiaanmu jua… lupakan saja hubungan cinta kita... yang pastinya kita tidak mungkin akan dapat bersama untuk membina mahligai bahagia… abang berdoakan moga kau akan berbahagia… bukan dengan abang tapi dengan insan yang lebih berhak… masa untuk abang pergi semakin hampir… maafkan abang sayang… cuma izinkan abang pergi membawa rasa cinta dan rindumu untuk selama-lamanya… selamat tinggal semua kenangan terindah… selamat tinggal sayangku…”

Mengapa semua ini boleh berlaku terhadap diriku? Haini mula merintih. Suasana di ruang tamu itu dirasakan semakin gelap. Semakin kelam. Mengapakah kau sanggup melukakan hatri kekasihmu ini? Mengapa kau tiba-tiba berubah hati? Mengapa Jo? Mengapa?

Haini tidak mampu lagi untuk menahan sebak di dada. Saat itu terasa sesuatu mula memberat di kelopak mata dan air mata tidak dapat dibendung lagi. Perlahan-lahan berjurai mengalir menuruni pipinya yang mulus.

Haini bertambah geram. Dirinya seakan berada di luar kawalan perasaan. Dikumpulkan semua kekuatan yang ada di dalam diri. Helaian surat yang masih tergenggam di tangannya diramas semahunya. Dikoyak-koyakkan sehingga hancur. Sepantas itu juga dihamburkan serpihan kertas itu ke udara. Perlahan-lahan serpihan itu berguguran menghampari permaidani merah yang sedia menanti di bawah.

“Penipu! Jantan tak guna!” jerit Haini sambil berlari menuju ke biliknya. Esakannya terus memanjang.

Boboi yang baru lepas mandi agak kehairanan. Dia benar-benar hairan dan tidak faham melihat gelagat Alongnya itu. Kalau tadi wajah Alongnya Nampak ceria dan gembira tetapi mengapa sekarang bersedih pula? Boboi hanya mampu mengangkat kedua-dua belah bahunya.

Soalnya sekarang dia tidak perlu tahu apa yang berlaku terhadap Alongnya itu. Sementara itu, Mak Tom telah bersiap-siap di dapur. Sarapan pagi semuanya sudah dibereskan. Dia kemudian ke ruang tamu untuk menyusun majalah yang berselerak.

“Ini tentu Boboi punya kerja…,” fikir Mak Tom dalam hati. Dia sudah masak benar dengan perangai Boboi yang suka menyepahkan majalah selepas membacanya.

Mak Tom agak terkejut apabila melihat taburan perca kertas yang bersepah berhampiran dengan sofa. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dalam fikirannya mesti Boboi yang punya angkara membuat sepah begitu. Geram juga hatinya pagi itu. Satu anak nafas yang keras dilepaskan. Terfikir juga dibenaknya, jarang sekali Boboi membuat sepah sebegitu. Kalau menyelerakkan majalah atau surat khabar perkara yang biasa baginya. Kali ini habis bertaburan kertas-kertas kecil di atas permaidani merah yang tebal itu. Nasib baiklah Puan Zainah keluar ke pasar, kalau tidak pasti bebelnya memanjang.

Mak Tom segera mengambil mesin penyedut sampah yang terletak di bawah tangga. Segala taburan  kertas mesti dibersihkan. Majalah yang berselerak kena disusun rapi. Satu perasaan yang terbuku di dadanya masih belum terjawab. Boboi mesti ada jawapannya. Sebentar kemudian Boboi keluar dari biliknya untuk bersarapan pagi. Mak Tom segera memanggilnya.

“Boboi! Mari sekejap,”

“Ada apa Mak Tom?” soal Boboi kembali seraya menghampiri perempuan tua yang sudah mencecah usia 55 tahun itu.

“Ini… siapa yang punya kerja?” soal Mak Tom sambil menunjukkan perca-perca halus kertas yang telah dikumpulkan.

“Ehh… mana Boboi tahu! Bukan Boboi yang buat…,” balas Boboi sambil memuncungkan bibirnya, tanda membantah telahan yang dibuat oleh Mak Tom terhadap dirinya.

Mak Tom kehairanan. Dia menarik dan melepaskan satu helaan nafas yang panjang sambil bercekak pinggang.

“Habis… kalau bukan Boboi yang sepahkan… siapa lagi?” soal Mak Tom sekali lagi. Mak Tom masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan dari Boboi.

“Boboi dah cakap… bukan Boboi yang buat. Mak Tom tanyalah pada Along” ujar Boboi mempertahankan dirinya.

“Along? Tak pernah Mak Tom tengok Along buat sepah macam tu. Pagi tadi Mak Tom tengok dia suka aje,” tingkah Mak Tom kembali.

“Tadi lepas mandi… Boboi Nampak Along menangis dan menjerit marah-marah,”

“Mengapa pulak? Along gaduh dengan Boboi lagikah?” teka Mak Tom.

“Ke situ pulak Mak Tom ni… mana ada Boboi gaduh dengan Along,” ujar Boboi bagaikan mempertahankan diri. “Boboi ingat… tadi Along ada dapat surat. Jangan-jangan Along…,” Boboi tidak menghabiskan ayatnya itu.

Mak Tom tidak sabar untuk mendengaran penjelasan dari Boboi. Dia semakin berminat untuk tahu.

“Jangan-jangan apa pulak Boboi?” cepat Mak Tom menyoal kembali.

“Entah-entah Along gaduh dengan abang Jo tak?”

“Jo? Abang Jo mana pulak ni Boboi?”

“Alah… pakwe dialah Mak Tom…,” usik Boboi lalu mencuit pinggang Mak Tom. Mak Tom melatah tiba-tiba.

“Oh… pakwe makwe… eehhh pakwe!” Latahnya semakin menjadi-jadi. Sambil melatah Mak Tom terkinja-kinja.

Boboi ketawa terbahak-bahak. Mak Tom terus mengejar Boboi yang berlari ke arah dapur.

“Nanti kamu Boboi… nanti kamu! Dalam diam-diam kamu kenakan Mak Tom ya!” tukas Mak Tom terus menuruti Boboi dari arah belakang.

Seketika kemudian Mak Tom kembali normal. Nafas kencangnya mula mengendur. Perlahan-lahan dia menghelakan nafasnya. Boboi memang selalu mengusiknya. Kalau Puan Zainah ada ketika itu sudah tentu dimarahi anak bungsu kesayangannya itu. Walau bagaimanapun Mak Tom tahu Boboi memang suka bergurau dengannya. Lebih-lebih lagi  bila dia mula melatah. Sebab itu jugalah dia rapat dengan Boboi.

Setelah agak selesa , Mak Tom kembali menyelesaikan tugasnya di ruang tamu. Segala taburan yang bersepah dibersihkan segera. Dia tidak mahu Puan Zainah tahu. Nanti bising pula dibuatnya. Mak Tom juga tidak suka melihat Haini mahupun Boboi kena marah. Naluri keibuannya cepat merasa simpati.

Sementara itu di bilik tidur, Haini masih lagi dibaluti perasaan sedih. Suasana di bilik itu juga Nampak suram dan muram. Seakan bersimpati dengan kekecewaan yang menimpa Haini. Esakannya semakin lama semakin perlahan. Daun pintu bilik itu diketuk beberapa kali. Mak Tom masuk lalu menghampiri anak gadis yang masih menyembamkan mukanya ke bantal. Katil nampak berselerak. Kelihatan anak patung beruang kesayangan Haini tergolek di sisi katil. Diambilnya anak patung beruang itu lalu diletakkan semula di kepala katil. Bantal yang gebu itu juga sudah basah dengan air mata.

Mak Tom faham benar sekarang ini. Melihatkan keadaan Haini ketika itu, terdetik juga di hati Mak Tom tentang kebenaran telahan yang dibuat oleh Boboi tadi. Dunia orang muda memang tidak boleh lari dari soal-soal cinta dan mainan perasaan. Cinta dan juga air mata. Pertemuan dan perpisahan itu lumrah dunia percintaan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahannya. Mak Tom mengusap lembut rambut Haini yang ikal mayang itu.

“Mak Tom tahu… Along sedang bersedih sekarang. Mak Tom harap Along kuatkan iman. Pertemuan dan perpisahan itu bukan kerja kita tapi kerja Allah SWT. Biar Dia yang menentukan segalanya,” nasihat Mak Tom kepada Haini yang sudah dijaga sejak anak gadis itu berusia sepuluh tahun lagi.

Dia sudah masak benar dengan perangai anak-anak Puan Zainah itu. Mak Tom juga sudah menganggap anak-anak Puan Zainah seperti anak-anaknya sendiri. Begitulah jugalah dengan anak-anak bagaikan sudah sebati dengan cara asuhannya. Kalau Puan Zainah sibuk dengan urusan perniagaannya maka Mak Tomlah tempat mereka berdua mengadu hal dan menumpang kasih.

“Tapi Mak Tom… mengapa abang Jo buat Along macam ni?” desak Haini lagi dan masih kedengaran esakan yang kecil.

“Sudahlah tu Along… buat apa nak kenang-kenangkan lagi? Anggaplah apa yang berlaku ini dugaan dari Allah SWT semata-mata. Mungkin ada hikmah di sebaliknya,” ujar Mak Tom lagi.

“Tapi Mak Tom… Along sayangkan dia…”

“Ya… Mak Tom tahu… Mak Tom faham yang Along sangat sayangkan dia. Kalau dia sayangkan Along tentu dia tak buat macam ni,” balas Mak Tom lagi dengan nada suara yang lembut dan tenang.

“Tapi Mak Tom…”

“Emm… Along tak ada tapi-tapi lagi. Lupakan saja kawan Along tu! Lagi pun Along masih muda. Masih banyak lagi peluang yang menunggu di hadapan. Buat apalah nak fikirkan sangat hal ni? Kalau mak Along tahu hal ni tentu lagi kecoh,” sela Mak Tom lagi untuk cuba memenangi hati Haini yang mula reda dari esakannya.

Haini bangun lalu memandang tepat ke wajah tua Mak Tom. Bagaikan ada satu sinar baru yang menerjah kamar hatinya saat itu. Perlahan-lahan dia mula mengukirkan senyuman. Senyuman yang teramat manis buat Mak Tom yang banyak membantu dan menjaganya. Mak Tom turut menyambut senyuman itu dengan hati yang terbuka. Jelas kedut-kedut yang pecah seribu terpancar di wajahnya. Haini kemudiannya mendakap erat tubuh tua Mak Tom.

“Terima kasih Mak Tom kerana banyak memberi dorongan dan nasihat berguna pada Along. Mama sendiri pun jarang nak ambil tahu tentang diri Along,” kata Haini masih belum lagi mahu melepaskan dakapannya terhadap Mak Tom.

“Hissy… Along jangan cakap macam itu… bukan Mama tak beri perhatian pada Along atau Boboi tapi Mama sibuk dengan urusannya. Sejak arwah ayah Along meninggal, Mamalah  yang menjadi tunggak keluarga. Segala-galanya Mama kena bereskan… sebab itulah Mama mahu Mak Tom jaga Along dan Boboi supaya kasih sayangnya tak hilang begitu saja. Mak Tom harap Along faham sekarang…,” ujar Mak Tom menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Dia tidak mahu Haini menyalahkan ibunya seratus peratus dalam hal itu.

Mak Tom juga tidak mahu Haini dan Boboi menyalahkan ibunya yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaannya. Sememangnya anak muda seusia begitu jiwanya suka memberontak. Apa yang dilakukan hanya menurut hawa nafsu tanpa merujuk kepada pertimbangan akal yang waras. Haini kini semakin mengerti akan pengorbanan ibunya. Mak Tom telah menyedarkannya.

“Terima kasih Mak Tom… kerana dah sedarkan Along… sayang Mak Tom…,” pautan Haini semakin erat di dada Mak Tom.

“Sudah… kesat air mata tu… nanti Mama nampak Along juga yang susah.”

“Err… baiklah Mak Tom,” ujar Haini sambil mengesat sisa air mata yang masih berbaki di pipinya.

“Err… Mak Tom… tapi…”

“Apa lagi… cepat kesat air mata tu!” perintah Mak Tom bagaikan memberikan arahan.

“Tapi Mak Tom janji jangan beritahu Mama pasal perkara ni… ok?” pinta Haini bagaikan merayu.

“Baiklah tuan puteri…,” sela Mak Tom mahu bergurau.

Tentang Johari, biarlah segala kenangan itu berlalu pergi. Mulai saat itu dia akan cuba bangun dari kejatuhan cintanya. Dia mahu bangun semula bersama harapan yang baru yang bakal mewarnai keindahahan alam remajanya. Pengalaman itu sungguh bererti baginya walaupun terasa pahit untuk dikenang. Dalam sekelip mata ikatan perhubungan yang berjalan hampir dua tahun itu hancur berderai begitu sahaja. Mulai saat itu, sebolehnya dia tidak mahu lagi mengingat Johari. Pemuda yang pernah menakluki hati perempuannya. Baginya, Johari kini sudah tidak wujud lagi dalam jiwanya. Johari telah mati dari hidupnya.

Lamunan Haini segera terhenti apabila suara parau Mak Tom memecah sepi ruang kamar itu. Mak Tom menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Emm… berangan lagilah tu… sudahlah tu Along… sarapan di dapur dah sejuk agaknya. Nanti perut tu pulak yang masuk angin…,” gerutu Mak Tom.

Haini tersentak. Ingatannya terhadap Johari turut hilang. Haini bingkas bangun lalu menuju ke almari soleknya. Mak Tom turut berlalu keluar bilik itu menuju ke ruang dapur yang terletak di tingkat bawah. Haini masih lagi melihat raut wajahnya di cermin. Kelopak matanya nampak membengkak akibat menangis tadi. Diusap kelopak matanya perlahan-lahan. Kemudian tangan mencapai sikat lalu disikatnya rambutnya yang tidak terurus itu beberapa kali. Apabila selesai dia mula bergerak menuju ke ruang dapur untuk bersarapan pagi.

“Mama tak pulang lagi Mak Tom?”

“Kejap lagi baliklah tu.”

“Lama dah Mama pergi?”

“Lamalah juga… kenapa?”

“Err… tak ada apalah… saja tanya…”

“Makanlan cepat… sejuk dah nasi lemak tu.”

Mak Tom menuangkan air kopi ke dalam cawan lalu menghulurkan kepada anak gadis Puan Zainah itu. Kemudian Haini menyuakan secawan kopi itu ke mulutnya. Airnya sudah mulai sejuk. Perhatiannya mula tertumpu kepada beberapa bungkus nasi lemak di atas meja. Diambilnya satu lalu dibukanya. Aroma dari daun pisang yang membaluti nasi lemak itu membangkitkan selera Haini.

“Mak Tom tak makan sekali?”

“Mak Tom dah lama sarapan tadi… Along makanlah.”

“Emm… sedapnya… mesti beli dekat warung depan tu?” soal Haini kepada Mak Tom yang leka membasuh baki pinggan mangkuk yang kotor di singki.

“Makan sajalah… kejap lagi sampailah Mama Along tu…”

Haini turut memerhatikan sekitar dalam rumahnya itu. Matanya melilau memandang kalau-kalau ternampak kelibat Boboi.

“Boboi mana Mak Tom?”

“Dia baru saja pergi mengaji… rumah Ustaz Abu…”

Haini menganggukkan kepalanya. Dahulupun dia mengaji dengan Ustaz Abu sampai khatam 30 juzuk al-Quran. Haini teringat kisah lama semasa dia mengaji dahulu. Ingatannya terus melekat pada Ustaz Abu. Pernah satu hari Ustaz Abu memarahinya kerana tidak bersungguh-sungguh semasa mengaji. Selalu pergi lambat dan kadang-kadang ponteng mengaji sehinggalah ibunya menyuruh Mak Tom menemaninya mengaji setiap hari. Lamunannya tiba-tiba terhenti apabila deringan bunyi telefon berdering kuat di ruang tamu. Dia segera mendapatkan telefon di ruang tamu.

“Hello… hello… hello...,” gagang diletakkan di telinganya.

Senyap. Tiada suara yang menyambut sapaannya di hujung talian. Haini terus bersuara namun tiada yang menjawab panggilan itu. Gagang telefon diletakkan semula di tempatnya. Geram juga hatinya apabila diperbuat sebegitu. Di hatinya mulai berdetik, mungkin ada orag yang tidak bertanggungjawab yang cuba mempermain-mainkan talian telefon. Haini merenggus marah.

“Siapa pulak yang telefon tu?” tanya Mak Tom apabila Haini kembali semula ke ruang dapur.

“Entah… tak berjawab! Orang bisu agaknya!” bentak Haini.

“Salah nombor agaknya…,” balas Mak Tom cuba mententeramkan perasaan anak gadis yang baru sahaja reda dari gelora.

Haini mengangkut cawan dan pinggan yang kotor ke sinki. Selepas membasuhnya, dia kembali semula ke ruang tamu. Mak Tom ditinggalkan bersama  dengan kerja dapurnya yang masih belum beres. Sebentar kemudian kedengaran bunyi enjin kereta menderu di garaj.

“Tentu Mama dah pulang dari pasar,” seka Haini sendirian. Dia berjalan menuju ke pintu utama. Daun pintu ditolak keluar. Kelihatan ibunya baru sahaja mematikan enjin kereta. Dia segera mendapatkan ibunya.

“Mana Mak Tom?” tanya Puan Zainah.

“Kat dapur… tadi dia bersihkan lantai. Tak apalah biar Along tolong angkat barang-barang tu…”

Haini membantu ibunya mengangkat sebuah bakul yang sarat dengan pelbagai jenis sayuran, ikan dan daging. Sudah menjadi kebiasaan bagi Puan Zainah untuk membeli barangan untuk keperluan seminggu dua. Untuk ke pasar setiap hari dia tidak mempunyai masa yang cukup. Dia sangat sibuk dengan urusan perniagaannya. Sejak arwah suaminya meninggal dunia, dia mengusahakan seorang diri kedai bunganya itu. Sementara menantikan tawaran belajar dari mana-mana kolej atau pusat pengajian tinggi, Haini rajin juga membantu ibunya di kedai bunga. Kebiasaannya pada sebelah petang apabila ibunya keluar menghantar bunga pesanan pelanggan.

“Err… cuba Along pandang Mama kejap,” tiba-tiba Puan Zainah merasakan kelainan pada wajah anak gadisnya itu.

“Mengapa Ma?” soal Haini kembali dan dia merasakan ibunya pasti akan bertanya mengapa kelopak matanya nampak bengkak atau matanya nampak berair.

“Mata kamu tu… kenapa? Macam baru lepas menangis aja.”

“Ehh… tak adalah Ma… err… sebenarnya masa Along mandi tadi… syampo masuk mata… itulah nampak merah mata Along…,” spontan jawab Haini.

Puan Zainah tidak terus bertanya. Haini terasa lega apabila bohong sunatnya berjaya memuaskan pertanyaan ibunya tadi. Dia mengurut dada tanda kelegaan. Kalau ibunya tahu perkara yang sebenar tentu kecoh malah bebelannya pasti memanjang.

“Macam mana dengan tawaran belajar tu?” soal Puan Zainah sambil berjalan masuk melangkah ke dalam rumah.

“Belum ada jawapan lagilah Ma… Along rasa dalam masa 2 minggu ni tahulah jawapannya,” beritahu Haini untuk menyakinkan ibunya.

“Mama harap kau dapat teruskan pelajaran. Hanya Alonglah satu-satu harapan Mama. Nak harapkan Boboi, dia masih kecil lagi.”

“Alah… Mama tak payah risaukan sangat pasal tu. InsyaAllah… kalau ada rezeki dapatlah.”

“Harapan Mama macam itulah… err… petang ni Along ada pergi mana tak?”

“Rasanya tak pergi mana-mana… Along ingat nak pergi kedai Mama.”

“Baguslah kalau macam itu… Mama memang nak minta Along jagakan kedai sekejap… petang nanti Mama nak hantar bunga pesanan untuk Datin Sofia sempena pembukaan salon kecantikannya itu,” beritahu Puan Zainah lagi.

“Ohh… kawan lama Mama tu… Along ingat lagi dengan Auntie Sofia tu…,”

“Datin Sofialah… bukan senang nak dapat pangkat tu…” ujar Puan Zainah sambil disambut gelak ketawa dari dua beranak itu.

“Baiklah Mama… err… Datin Zainah!” tukas Haini pantas mengusik ibunya. Puan Zainah tersenyum lebar atas usikan itu.

“Manalah tahu masin mulut Along…,” sampuk Mak Tom yang tiba-tiba muncul dari ruang dapur.

“Sudah... ambil barang-barang ni… pergi masak… dah tengahari ni…,” sela Puan Zainah manakala Haini mengambil peluang mencuit pinggang Mak Tom.

“Ohh… Datin Zainah… Oh Mak Datin...,” Mak Tom terus melatah.

Berderai lagi ketawa mereka tengahari itu. Suasana nampak ceria namun di hati Puan Zainah dia bagaikan dapat merasakan ada perubahan terhadap anak gadisnya itu. Dalam keadaan ini lebih banyak perhatian mesti ditumpu dan dicurahkan terhadap anak gadisnya itu. Kalaulah arwah suaminya ada, tentu kasih sayang akan tertumpah sepenuhnya kepada Haini dan Boboi.
Takdir telah menentukan segalanya. Sebagai seorang ibu dan juga ketua rumah, Puan Zainah terpaksa berkerja keras demi memastikan sesuatu yang terbaik diberikan kepada kedua-dua anaknya itu. Namun peranan dan pengorbanan Mak Tom turut mendewasakan anak-anak kesayangannya itu. Tanpa Mak Tom sukar juga baginya untuk membahagi-bahagikan masa antara keluarga dan tuntutan kerja.

No comments:

Post a Comment