Esoknya…
Perlahan kereta Myvi ungu gelap milik Shahriza, yang
dipandu Shahrizal, masuk ke perkarangan rumah orang tua mereka. Sebuah Proton Waja dan sebuah lori yang
membawa barang-barang milik Shahriza mengikut dari belakang. Kelihatan kedua
ibubapa mereka sedang menanti di pintu.
Sebaik sahaja Shahriza keluar dari kereta, ibunya
segera menerpa dan memeluknya. Sementara
ayahnya pula mendapatkan Adi Shafeer, cucu tunggal mereka.
“Iza apa khabar nak?
Awat kurus sangat ni?” Hajjah Raja
Zarina bertanya dalam sebak. “Kenapa dari awal kami tidak dimaklumkan?”
tanyanya lagi.
“Udah ler dulu.
Nanti kita bercerita. Moh masuk dulu.
Tu ada kawannya ikut sekali. Ajak dema masuk,” ayah Shahriza, Haji
Shahri bersuara.
“Pergi masuk dulu.
Biar yob uruskan barang-barang ni,” Shahrizal menepuk bahu adiknya.
“Ibu, ibu ingat lagi tak dengan Jazmin, jiran juga
teman baik Iza?” Shahriza memimpin tangan Jazmin sambil memperkenalkan pada
ibunya.
“Ibu ingat.
Lama sungguh tak jumpa. Min apa khabar?” Hajjah Raja Zarina menyambut
salam yang dihulur Jazmin.
“Memang lama sangat makcik. Maklum lah makcik lama tak ke rumah Iza. Ni pun saya tetap nak ikut sebab nak tahu
mana Iza tinggal. Senang saya nak
jenguk-jenguk Iza dengan Shafeer nanti,” jelas Jazmin dengan panjang lebarnya.
“Terima kasih Min. Hah!.. suaminya mana? Awat tak
ajak naik sekali?”
“Ada dekat bawah tu.
Tolong angkat barang dari lori.”
“Ishh.. ada pulak tetamu buat kerja. Panggil dia naik Iza,” arah Hajjah Raja
Zarina, ibu Shahriza.
“Tak payah makcik. Tak nak abang Zamil tu naik. Dekat sana tadi pun dia yang tolong yob. Jadi biarlah dia dengan yob tu,” halang
Jazmin bagi pihak suaminya.
“Kalau macam tu, mari Min… duduk dulu. Makcik ke dapur buat air.”
“Tak apa ibu.
Biar Iza yang buat. Ibu duduk
sini ya?” bingkas Shahriza bangun dan melangkah ke dapur.
Tidak lama kemudian, Shahriza kembali dengan dulang
di tangan.
“Dekat yob dengan orang-orang di bawah tu dah bagi
air, Iza?” tanya Hajjah Raja Zarina pada anaknya.
“Dah bu. Ayah
tolong hantarkan,” balas Shahriza sambil meletakkan gelas-gelas di dulang ke
atas meja. “Minum Min,” pelawa Shahriza
sebaik sahaja kerjanya selesai.
“Budak-budak mana Iza?”
“Ada dengan atoknya, bu.”
“Ada cucunya mulalah dah tak ingat lain orang tua
tu,” gumam Hajjah Raja Zarina.
“Aik… takkan ibu cemburu kut?” usik Shahriza
melihatkan wajah cemberut ibunya.
“Ishh… tak ada masa ibu nak cemburu. Ibu bukan
apa. Tahu sangat… nanti dimanjanya cucunya
itu. Payah kita nanti Iza,” balas Hajjah
Raja Zarina.
“Kau jangan heran Min. Ayah aku tu nanti semua benda dia buat dia
heretnya cucu dia sekali. Kalau balik
sini, memang tak boleh renggang. Sampai
makan pun tak kesah dah, kalau asyik ikut kehendak cucu dia saja. Lepas tu mula lah si Shafeer tu tak pedulikan
kami lagi,” terang Shahriza pada Jazmin.
“Cucu tunggal… biasa lah tu,” balas Jazmin ringkas.
“Hah! Nak ke mana pulak tu tergesa-gesa?” tiba-tiba Hajjah
Raja Zarina bersuara bila lihat suaminya kelam kabut keluar masuk bilik mereka.
“Aku nak pergi kedai. Cucu aku nak aiskerim,” jawab Haji Shahri
sambil laju menuruni anak tangga rumah.
“Tengok tu! Kan dah cakap dah!” Hajjah Raja Zarina menjuihkan
bibirnya ke arah suaminya. Mereka kemudiannya
ketawa melihatkan gelagat Hajjah Raja Zarina dan Haji Shahri.
Shahriza bagaikan terlupa masalah yang sedang
dihadapinya. Hatinya begitu tenang bila
berada di samping keluarganya. Wajah
mendungnya kembali berseri bila dia memandang wajah kasih ibunya. Sungguh dia bersyukur, dia masih punya tempat
mengadu walaupun suami yang amat dicintai membuangnya. Khayalannya terganggu bila terdengar suara
orang memberi salam.
“Waalaikumussalam,” sahut Hajjah Raja Zarina yang
sudah pun bangun dan berdiri di muka pintu.
“Naiklah Zamil.
Naik yob… ajak Zamil sekali. Yang
lain-lain mana?” tanya Hajjah Raja Zarina yang meninjau ke kawasan laman
rumahnya. Lori yang membawa barang
anaknya sudah tidak kelihatan.
“Dia orang dah balik, bu,” jawab Shahrizal. “kata dema
ada tempat lagi nak kena pergi,” sambungnya lagi.
“Ooohhh… tak apalah kalau macam tu. Ha… Zamil, apa tercegat lagi tu? Sila duduk.
Makcik nak ke dapur. Korang makan
tengahari sini ya?”
“Tak apa lah makcik.
Kami tak nak nyusahkan makcik, lagipun…”
Muzamil cuba beralasan tapi dipotong Shahrizal.
“Lagipun apanya Zamil? Tadi cakap takde nak kemana,
memang hanya nak ke sini je. Tu yang
sanggup balik awal dari kursus tu,” tungkah Shahrizal sebelum menuju ke dapur.
Muzamil hanya tersenyum seperti kerang busuk. Dia terperangkap dan malu juga.
“Jom bu… Iza tolong ibu. Min duduk dulu ya?”
“Min ikut sama.
Mana boleh duduk saja,” cepat Jazmin mencelah. Baru dia tersedar. “Abang, Akir mana?” tanya
Jazmin pada suaminya.
“Ada dekat bawah dengan pakcik. Makan aiskerim sekali dengan Shafeer,” jawab
Muzamil.
Jazmin mengganggukkan kepalanya dan memberi isyarat
pada suaminya sebelum ikut Shahriza ke dapur.
“Silakan Zamil… kita minum sini pulak,” Shahrizal muncul
dari dapur dengan dua gelas di tangan.
Haji Shahri, seorang Pengetua pencen. Rumah beliau dibina
separuh papan dan separuh batu. Di tingkat atas ada terdapat sebuah ruang tamu
dan tiga bilik yang dikhaskan untuk ketiga-tiga anaknya. Bilik Puteri Shahriza
dan adiknya, Puteri Shahrizana dibina bersebelahan manakala bilik abang mereka
Megat Shahrizal, berhadapan dengan bilik kedua-dua adiknya. Turun dari tingkat
atas, akan terus masuk ke kawasan dapur dan ruang makan. Tidak jauh dari ruang makan, ada empat anak
tangga batu menuju ke tingkat bawah. Di
tingkat bawah ini ada sebuah ruang tamu dan dua buah bilik. Satu bilik tetamu dan satu lagi bilik Haji
Shahri suami isteri.
Ya.. nama anak-anak Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina berpangkalkan Megat dan Puteri. Ini adalah kerana ibu mereka berdarah raja dan bapa mereka orang kebanyakan. Namun begitu, mereka hanya menggunakan nama Megat dan Puteri hanya untuk urusan rasmi sahaja.
“Assalamualaikum Hajjah Rina oiiii!!!!” terdengar
laungan orang memberi salam di pintu dapur.
“Waalaikumussalam. Laaaa… kak Tipah. Dari mana ni?” Hajjah Raja Zarina menyambut
kedatangan isteri ketua kampung, Mak Tipah.
“Aku dari rumah Maimon. Anak dia, Junainah bersalin. Lalu sini, nampak lori bawak barang. Yob nak kawin ke Rina?”
“Hishhh… mana pulak yob nak kawin. Iza tu balik
pindah sini,” jawab Hajjah Raja Zarina tanpa berselindung. Pada masa yang sama Shahriza turun tangga
dapur diikuti Jazmin.
“Ada kamu Iza? Bila kamu balik? Kamu balik pindah sini terus ker?” tanya Mak Tipah yang tanpa dipelawa menarik
kerusi di meja makan dan terus duduk. Shahriza
menoleh ke arah ibunya. Dahinya
berkerut.
“Acik Tipah ni nampak lori punggah barang. Dia ingat yob nak buat persiapan kahwin. Ibu cakap le yang Iza balik pindah sini,” Hajjah Raja Zarina sedar anaknya
sedikit hairan dengan soalan Mak Tipah tadi.
Shahriza memberi senyuman manisnya sambil bersalam
dengan Mak Tipah. Namun dia sedikit pun
tak menjawab soalan Mak Tipah tadi.
“Acik Tipah sihat?” tanya Shahriza lembut.
“Alhamdullillah.
Kamu ni makin cantik aku
tengok. Tapi susut sungguh badan kamu ni. Kamu diet ke Iza? Aku lagi suka kamu yang dulu. Gebu jer…,”
ujar Mak Tipah dengan mata tak lepas dari memandang wajah anak jiran
sekampungnya itu.
Mak Tipah sebenarnya terkilan bila Shahriza memilih
Adi Razman dan bukan anaknya Tajul. Tapi
nak buat macamana, Tajul sendiri pemalas dan tak bekerja. Mak Tipah memang
berkenan sangat dengan Shahriza. Dulu, Shahriza
memang jadi rebutan ramai untuk dijadikan menantu. Selain dari cantik, walaupun sedikit tembam,
orangnya bijak dan begitu sopan. Kerja
dapur dia cekap. Begitu hormat orang
tua. Boleh dikatakan, Shahrizalah satu-satunya anak dara di kampung itu yang
mempunyai ciri-ciri lengkap sebagai seorang menantu idaman. Ramai yang kecewa
bila Shahriza berkahwin sebaik mendapat keputusan STPM. Mereka ingatkan sudah pasti Shahriza akan
menyambung belajar setelah mendapat keputusan cemerlang. Tapi sayang, tak
sangka pula dia memilih untuk berkahwin.
Shahriza tersipu-sipu dengar pujian Mak Tipah. “Minum Acik Tipah,” Shahriza menuangkan air
kopi ke dalam cawan yang sedia ada di atas meja itu.
“Kamu pindah balik sini, Iza?” soalan diulang
setelah yang tadi tidak dijawab.
Shahriza jadi serba salah. Dia memandang wajah ibunya memohon
bantuan. Hajjah Raja Zarina juga
memandang sayu pada anak kesayangannya itu.
“Usah ler kamu nak segan dengan aku, Iza. Aku dah anggap kamu tu macam anak aku juga,”
ujar Mak Tipah yang perasan akan ketidakselesaan Shahriza. Shahriza memberikan
senyuman hambarnya.
“Acik Tipah duduk dulu ya… saya nak pergi masak
sekejap,” dan terus dia meninggalkan Mak Tipah yang masih memandang sayu pada
wajah polos yang amat menyenangkan hati isteri ketua kampung itu.
“Kak Tipah!” tegur Hajjah Raja Zarina pada temannya
yang seperti orang berkhayal.
“Eh.. ya Rina.
Maafkan aku. Aku nak tanya ni
jangan kamu terasa pulak ya?”
“Apa dia kak Tipah?”
“Iza dengan Razman tu ada masalah ker?”
Hajjah Raja Zarina terperanjat dengan soalan Mak
Tipah. “Kenapa kak Tipah tanya macam tu?”
“Aku bukan apa Rina.
Aku sebenarnya dah tahu pasai si Razman tu. Tu yang bila kamu cakap Iza dah balik pindah
sini, jadi betullah apa yang aku dengar tu,”
Mak Tipah menghirup kopi yang hampir sejuk.
Hajjah Raja Zarina memandang tajam pada Mak Tipah.
“Apa yang kak Tipah dengar?” tanyanya perlahan.
“Bulan lepas, aku pergi kampung sebelah. Kamu
tahukan yang ayah si Razman tu sepupu abang Harun? Dia diserang sakit
jantung. Bila aku ke sana, aku dapat
tahu Razman dah kahwin lain. Aku
terkejut sangat,” jelas Mak Tipah.
“Kenapa kak Tipah tak cerita pada kami?” Hajjah Raja Zarina mula rasa tak sedap hati. Dia dapat rasakan yang orang kampung semua
sudah tahu apa yang berlaku pada anaknya sedangkan dia sendiri baru tahu
semalam.
“Maafkan aku Rina.
Sebenarnya aku tak dibenarkan untuk bercerita pada sesiapa pun. Lagipun
dia orang malu dengan kamu laki bini.
Dulu beria-ia nakkan si Iza tu, sekarang macam ni pula jadinya. Tergerak
juga hati ni nak bertanya pada kamu, tapi aku tak tergamak. Aku
tak nak orang tuduh aku menyampai berita, bawak mulut merata,” balas Mak
Tipah sayu.
Hajjah Raja Zarina melepaskan keluhan. Dia memandang
sayu ke arah anaknya yang sedang sebuk di dapur dan dibantu Jazmin.
“Maafkan aku Rina, kalau kata-kata aku ni kamu tak
suka,” Mak Tipah rasa serba salah bila Hajjah Raja Zarina mendiamkan diri.
Hajjah Raja Zarina mengeleng kepalanya. “Tak kak
Tipah. Kak Tipah tak perlu minta
maaf. Sebenarnya saya dengan abang Shahri
pun baru tahu pagi semalam. Itu pun
sebab yob nak ke Melaka. Kami pun tak
tahu selama ini rumahtangga mereka bergolak,” Hajjah Raja Zarina mula rasa
sebak bila mengenangkan nasib anak perempuannya.
Mak Tipah menepuk-nepuk tangan Hajjah Raja Zarina.
“Assalamualaikum ibu!”
Terperanjat Hajjah Raja Zarina dan Mak Tipah yang
sedang melayan perasaan, dengan suara yang tiba-tiba memberi salam.
“Astaghfirullahaladzim anak bertuah ni! Terkejut Acik Tipah!” pantas Mak Tipah
mengurut dadanya. Benar-benar dia
terperanjat dengan jerkahan dari pemberi salam.
Hajjah Raja Zarina mengeleng-ngeleng kepalanya.
“Eh? Acik Tipah ada sini? Maafkan Zana. Zana ingat ibu kat belakang tadi.” kelam
kabut gadis manis yang muncul tiba-tiba mendapatkan Mak Tipah. Tangan Mak Tipah diraih dan diciumnya sebagai
tanda hormat pada isteri ketua kampung itu.
Puteri Shahrizana, anak bongsu Haji Shahri dan Hajjah
Raja Zarina. Beliau baru pulang setelah
tamat pengajian di USM.
“Zana, awak tu anak dara. Lain kali belajar sopan
sikit,” tegur Hajjah Raja Zarina pada anak gadisnya yang menunduk cium
tangannya. Pipi anak bongsunya dicium
lembut. “Balik dengan apa ni?” tanya Hajjah
Raja Zarina.
“Dengan kawan-kawan bu. Maafkan Zana ya ibu? Ya acik Tipah? Tak sengaja tadi sebab selalunya waktu ini
ibu dekat dapur….” terhenti bicaranya bila dia ternampak kelibat Shahriza di
ceruk dapur. “Hah! Akak? Bila akak balik ibu?” tanyanya pula. Namun belum sempat Hajjah Raja Zarina
menjawab, Shahrizana sudah meluru ke dapur.
“Akak! Bila akak balik? Rindu sangat dengan akak,”
ujarnya sambil tubuh kurus Shahriza dipeluk dari belakang. Terperanjat Shahriza dibuatnya.
“Zana? Zana dah
balik?” Shahriza yang masih terpinga-pinga segera membalas pelukan adik
bongsunya.
“Kalau ikutkan last
week dah nak balik. Tapi Zana ikut
rombongan kawan-kawan pergi makan angin.
Ni yang baru balik hari ni,” tak puas rasanya memandang wajah kakaknya
yang amat dirindui. “Lama ya kak, kita tak jumpa? Eh… awat dah kurus sangat ni?”
“Biasa jer… Zana tu yang sebuk manjang. Langsung takda masa nak jenguk akak dekat
Melaka,” pipi Shahrizana dicubitnya. Shahrizana
segera cium pipi Shahriza. Sayang sangat
dia pada kakaknya. Matanya tiba-tiba
terpandang Jazmin yang sedari tadi asyik memerhatikan kedua beradik melepas
rindu.
“Ini kak Min kan? Jiran akak?”
Jazmin menganggukkan kepalanya sambil
tersenyum. Mereka bersalam dan melaga
pipi seketika.
“Akak, hero adik mana?”
“Ada dengan atok dia ler… mana lagi,” Shahriza yang menyambung
semula kerjanya memandang sekilas pada Shahrizana. Shahrizana segera meninggalkan dapur dengan
mulutnya riuh memanggil anak saudaranya.
“Hish… anak dara sorang ni. Tak tahu malu langsung. Zana… segan ler sikit. Atas tu ada suami kak Jazmin kau tu. Nanti apa pulak dia orang pikir,” Hajjah Raja Zarina menegur anaknya yang masih
bersikap keanak-anakan. Maklumlah anak
manja.
“Oopppsss… Maaf ibu. Over excited ni. Abang Adi
pun ada dekat atas ker?” soalan ditanya
tidak mengharapkan balasan. Dengan tersipu-sipu malu memandang Mak Tipah, Shahrizana
turun ke bawah rumah untuk mencari ayah dan anak saudaranya.
“Tak apa lah Rina.
Kak Tipah balik dulu. Nanti
bising pulak abang Harun kalau akak ni lama sangat,” Mak Tipah bangun dan mula
menapak ke arah pintu.
“Ya lah kak Tipah,” Hajjah Raja Zarina menemani Mak
Tipah hingga ke pintu. “Oh ya… macamana dengan abang Man sekarang? Lupa pulak
saya nak tanya tadi?”
“Alhamdullillah… sihat dah.”
“Nantilah, saya ajak abang Shahri pergi ziarah. Tak sedap pula bila dah dengar macam ni.”
“Elok lah tu.”
No comments:
Post a Comment