Tuesday, January 14, 2014

~ MKR : Perangkap Khalwat Tidak Menjadi




BAB 2

Megat Danial mengorak langkah menuju ke kamar hotel yang dijadikan kediaman hinggap apabila dia tidak mahu pulang ke rumah. Sebaik sahaja kaki terhenti di hadapan muka pintu, Megat Danial mengeluarkan segugus anak kunci. Tanpa berlengah lagi, tombol pintu dipulas dan daun pintu di luaskan. Sejurus itu, kaki dihayun lalu katil bersaiz king di hampiri. Sesaat kemudian, tubuh sudah direbahkan dengan keadaan terlentang menghadap siling. Sekali lagi keluhan terdengar perlahan.



Sedang asyik melayani kantuk yang baru menjengah, telinga menangkap bunyi air mengalir di dalam bilik air membuatkan mata yang hampir terpejam kembali segar bungar. Lantas, dari berbaring Megat Danial sudah tegak berdiri dan menghampiri bilik air yang masih tertutup rapat!
Dalam merenung muka pintu yang tertutup rapat, akhinya seseorang melangkah keluar dari bilik air. Serentak itu juga, raut wajah yang sudah tegang semakin tegang dengan dihiasai rona merah. Riak-riak amarah sudah mewarnai seluruh wajah. Hati yang tenang sudah dihambat baran!
“What are you doing here?” soal Danial bersama ucapan yang tertahan-tahan.  Maya yang baru selesai membersihakn diri tersentak, hampir sahaja tuala yang membaluti tubuh jatuh terlerai. Tidak menyangka begitu cepat Megat Danial kembali ke kamarnya!
“I ask you! Jawablah!” Jerkah Danial bersama baran yang sudah tidak tertanggung lagi.
“Errr.. err.. I’m so sorry Encik Danial! Sorry…” Maya sudah hilang keberanian memanggung wajah. Nahaslah dirinya kali ini!
“Siapa yang izinkan you masuk ke bilik I?” Sekali lagi Maya tersentak dengan nada tinggi yang terhambur dari kedua ulas bibir lelaki itu. Dia tidak berani membuka bicara, apatah lagi menerangkan plan yang sudah dirancang serapi mungkin! Aduh, dia sudah silap langkah!
“Berambus! Berambus!!!” Pekik Megat Danial langsung mengusir Maya yang bertuala separas dada keluar dari kamar rehatnya. Keluar! Wajah itu sedikit pun tidak dijamah pandangan matanya.
Tanpa berlengah lagi, Maya terpaksa meninggalkan ruang panas dingin milik Megat Danial tanpa berpakian lengkap. Niatnya untuk memerangkap lelaki itu, bertukar sebaliknya. Dia pula yang terperangkap! Hessy!
Melihat Maya sudah terkocoh-kocoh keluar, Megat  Danial mendekati almari pakaian. Terjegil matanya melihat pakaian Maya sedang elok tersangkut di dalam almari kepunyaannya. Serentak itu juga, baju yang bergayut di hanger di tarik dan direntap lalu digulung dan dilempar ke luar bilik hotel.
“Housekeeping!” Jeritnya sebaik melihat troli pekerja-pekerja  unit itu sedang berada di hujung sana. Melakukan tugasan rutin!
“Encik Danial lagi… guest garang macam singa tu!” Gerutu Nita sambil berselindung disebalik troli. Terjengul-jengul dari jauh!
“Pergilah!” Nita menyiku lengan Misha yang turut menyembunyikan diri.
“Tak naklah! Kalau dia tahu aku kerja di sini lagi! Entah apa-apa lagi aduan yang dia nak buat pada bos kita tu!” Balas Misha enggan menurut. Masih tidak mengetahui Danny dan Megat Danial adalah sepupu dan juga bos besar hotel tempat dia bekerja.
“Kau’lah pergi!” Suruh Misha kepada Nita. Dia bimbang untuk memperlihatkan dirinya semula, apatah lagi bos bernama Danny sudah berpesan agar tidak memunculkan diri di hadapan lelaki yang selalu naik darah.
“Aku takut!” gumam Nita enggan menurut.
“Ala.. pergilah!” Pujuk Misha pula. Belakang tubuh sahabatnya ditolak agar segera mendapatkan lelaki itu.
“Aku takut! Kau pergilah, kau dah ada pengalaman dengan dia tu!” Juih Nita sambil cuba mengalih tapak tangan Misha yang sedang menolak tubuhnya.
“Banyaklah pengalaman!” Misha mencebir.
“Hoi.... Cepatlah!” Jerkah Danial masih terjengul dimuka pintu sambil bercekak pinggang.
Akhirnya Misha terpaksa keluar dari tempat persembunyiannya, perlahan-lahan dia menapak dengan wajah tertunduk.
“Awak lagi?” Soal Megat  Danial bersama raut wajah yang tidak mesra!
“Ya, Bos saya belum pecat saya!” Gumam Misha berani.
“Degil!” Tekan Megat Danial lantas berpusing masuk ke dalam kamar meninggalkan Misha bersendirian.
“Apa tercegat lagi! Cuci toilet tu, buang semua baju yang bersepah depan pintu ni!” Arahan itu keluar bertubi-tubi. Misha sekadar mengangguk tanpa protes. Encik bos bernama Danny itu sendiri, yang menasihatkan dirinya agar bersabar sahaja melayani karenah pengunjung yang cerewet. Lebih-lebih lagi, lelaki yang memarahinya tempoh hari! Dan lelaki itu sedang berdiri di hadapan matanya pada ketika ini.

**
“ENCIK kerja apa? Ada orang beritahu pada saya, yang Encik sudah sebulan tinggal di bilik ni? Encik ada seminar ke?” Soal Misha sambil mengeringkan lantai bilik air menggunakan mop. Sesekali, ekor matanya mengerling susuk tubuh lelaki yang masih tegak bersandar di balik dinding. Serentak itu juga satu keluhan kecil menyapa pendengaran.

“Maaf, saya menyibuk!” Gumam Misha tidak lama selepas itu. Tersedar dirinya sudah mencampuri urusan individu lain. Pasti manusia berkod hitam itu tidak senang! Tengoklah tu, tegang benar raut wajahnya.
“It is okay, menyibuk memang sifat perempuan!” Ujar Megat Danial selamba. Misha ketap bibir, terasa membahang raut wajahnya apabila lelaki itu memberi komen sedemikian. Telus tanpa sebarang tapisan!
“Saya tak fahamlah, kenapa saya dipertemukan dengan manusia seperti Encik!” Soal Misha seraya menghempas batang mop ke lantai. Dia naik darah apabila berhadapan lelaki seperti Megat Danial. Lelaki itu benar-benar menguji kesabarannya!
“Saya pun tak faham, kenapa saya perlu menghadap perempuan macam awak buat kali kedua!” Ulas Megat Danial bersahaja.  Terjungkit-jungkit kening kanannya.
“Hey... aku bengang betullah dengan dia ni! Apa masalah dia yang sebenarnya? Kurang kasih sayang gamaknya!” Gerutu Misha menahan rasa sakit di hati. Baru sahaja dia berfikir untuk berdamai, dan melupakan segalanya! Namun, keinginan terhapus apabila lelaki ini masih dingin dan beku.
“Buat kerja awak, sebelum saya paksa bos awak pecat awak!” Tekan Megat Danial lantas berpusing lalu mengatur langkah menuju ke arah katil. Tubuh yang lesu direbahkan dan kantuk yang menyusul dilayani dengan sebuah lelap yang indah dan penuh kedamaian.
“Itulah orang kaya, berlagak! Cakap tak pernah nak hormat orang!” Gerutu Misha seraya mengerling ke arah lelaki yang sedang terlena. Terlupa dia juga anak kepada pasangan berada!
Usai mengemas bilik lelaki bernama Danial itu, baldi dan alatan mencuci dijinjing keluar dari bilik air, lalu troli yang sarat dengan selimut dan juga kain cadar dihampiri.
“Aku nak keluar dulu, tidurlah engkau Encik Megat! Mimpi indah!” Ucap Misha langsung merapatkan daun pintu dan langkah diatur meninggalkan perkarangan bilik hotel serba mewah itu menyusuri laluan koridor.
Detik berlalu demi detik, hari yang cerah sudah bertukar gelap! Misha masih sibuk mencari telefon bimbit yang hilang tanpa kesan.
“Misha, jumpa tak?” Soal Nita masih setia menanti sahabatnya itu.
“Kalau tak jumpa, kau belilah yang lain!” Luah Azim pula. Sudah sejam mereka membantu Misha mencari telefon itu. Namun apa yang dicari masih tidak ditemui.
“Ha’a Misha, dah sejam kita cari. Kalau tak jumpa juga, kau beli yang lainlah! Lagipun, hanset kau bukannya mahal sangat! 60 ringgit je!” Sahut Azam bersama tawa. Azim pasangan kembar kepada Azam pula, sekadar tersengih manakala Nita masih tetap seperti tadi.
“Itulah korang, kalau member ditimpa kesusahan! Korang bukannya bersimpati, tolong gelakkan lagi adalah!” Rungut Misah kelihatan resah.
“Okey... okey! Sorry ok, aku bersimpati pada kau! Tapi dekat satu jam kita cari, tetap tak jumpa!” Balas Azim pula.
“Sebenarnya, ada apa dalam hanset kau tu?” Nita menyoal dengan riak penuh debaran. Misha memerhati, raut wajah satu persatu rakan-rakannya diperhatikan.
“Tak ada apa-apa pun! Cuma ada nombor-nombor penting aje!” Luah Misha perlahan.
“Kalau macam tu, kau nak buat apa sekarang?” Soal Azam tidak lama selepas itu.
“Aku kena cari sampai dapat!” Sahut Misha lambat-lambat.
“Tapi dah lewat ni,” balaz Azim bagi pihak Nita dan kembarnya itu, Azam!
“Korang baliklah dulu, aku balik kejap lagi!” Ucap Misha seraya menguntum senyum.
“Eh, tak bolehlah tinggalkan sorang-sorang dekat sini!” Azam membantah.
“Aku okeylah, korang baliklah dulu! Lagipun, rumah kita depan tu aje!” Misha sudah memuncung ke arah bangunan apartment tidak jauh dari hotel tempat mereka bekerja.
“Betul ni?” Nita meminta kepastian.
“Yup, betul! Don’t worry okey!” Misha tersenyum dan mereka bertiga membalas senyuman.
“Kalau macam tu, kita orang balik dulu! Jumpa kau dekat rumah nanti!” Pesan Nita disambut anggukan Misha. Sesudah itu, Misha melihat ketiga-tiga sahabatnya sudah bergerak menuju ke parking motosikal sebelum hilang dibalik pekat malam. Nafas dihela lalu Misha segera bangkit dan memperkemaskan pakaian uniform yang sudah berkedut.
“Dekat mana pula, aku letak handset ni!” Desis hati kecil itu. Misha masih berfikir! “Mungkin aku tertinggal masa kemas bilik guest tadi...” hati berbicara.
“Tapi bilik mana?” Misha picit dahi. Memikirkan kemana perginya telefon bimbit yang sudah hampir setahun digunakan.
“Oh.. ya! Baru aku ingat, handset tu aku letak dalam tandas di bilik Encik Megat!” Misha hampir melompat setelah yakin dengan telahan hatinya. Tanpa berlengah lagi, Misha mengatur langkah menuju ke pintu lif lalu memboloskan diri ke dalam perut lif. Sesudah itu butang lif ditekan dan sebaik sahaja pintu besi itu terkuak, Misha menapak laju menuju ke bilik yang dimaksudkan.
Daun pintu yang tertutup rapat diperhatikan tanpa berkelip, Misha merasa tidak senang untuk mengetuk pintu bilik tetamu hotel lewat-lewat malam sebegini. Rasa bersalah menghantui diri, namun kehendak hati enggan dibiarkan sepi. Perlahan-lahan, Misha mengetuk permukaan pintu. Satu.. dua.. dan tiga kali! Namun tiada sahutan! Dengan berhati-hati, Misha memulas tombol pintu! Ternyata tidak berkunci! Hati dipagut rasa aneh namun ini satu-satunya peluang yang dia ada untuk menyusup masuk dan mendapatkan semula telefon bimbitnya!
Misha berdecit masuk ke dalam kamar, setelah mendapati Encik Megat yang garang seperti singa jadian itu masih terlena tanpa sedar. Kelihatan kod yang dipakai siang tadi sudah terdampar di atas lantai! Lesaknya dia tidur! Misha menguntum senyum sebelum meneruskan langkah walaupun hati dipagut rasa curiga! Sepantas kilat dia meluru ke arah bilik air dan apa yang dicari ada di sana! Oh syukur!
Sedang Misha memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar slack, daun pintu kamar hotel itu ditolak dari luar.  Misha merasa gugup dan bimbang! Terfikir bagaimana harus dia melepaskan diri! Ternyata dia sudah terperangkap! Ah, macam mana ni! Dari jauh, sepasang anak matanya melihat kelibat seseorang sedang menyusup masuk.
“Siapa pulak tu? Alamak, macam mana aku nak keluar ni?” Resah dihati semakin menjadi-jadi. Mata pula masih menancap susuk tubuh yang sedang mendekati katil yang menempatkan manusia garang yang bernama Megat Danial!
“Megat... akhirnya you tewas juga!” Suara itu menyapa halwa telinga. Misha segera merapatkan pintu bilik air. Namun dari kejauhan, dia masih mencuri lihat.
“You sombong! You hina dan tolak I mentah-mentah! Now, terimalah akibatnya!” Ujar gadis itu seraya melucutkan satu persatu pakaian yang tersarung ditubuh. Dress paras lutut dicampak ke hujung katil dan rambut yang bersangul dibuka ikatan lalu dikirai-kirai sepertinya gadis itu baru sahaja bangun dari tidur! Sejurus itu, sarung kaki separas peha ditanggalkan dan kini yang tinggal hanyalah secebis fabrik nipis menutupi dua aset tersebut. Misha tekup wajah, malu melihat namun dia tetap mahu memandang tingkah aneh gadis yang dilihat begitu berani!
Misha telan liur apabila melihat gadis misteri itu mendekati Encik Megat lalu melabuhkan punggung dekat di sisi manusia yang sudah tidak sedar apanya itu! Perlahan-lahan, anak mata menangkap perbuatan mengejut dari seorang gadis yang diakui cukup cantik raut wajahnya!
“Malam ni, you akan jadi milik I Danial!” Bibir itu melafaz sebuah kehendak. Dengan pandangan tidak berkelip, Misha memerhatikan tingkah laku itu. Satu persatu butang baju itu ditanggalkan!  Tali leher yang masih kemas sudah dirungkaikan, dan kemeja yang tersarung juga ditanggalkan dari tubuh lelaki yang sering kali bersikap dingin terhadapnya! Misha masih tekun memerhati! Tindak tanduk gadis itu berjaya membuatkan sepasang anak matanya membuntang! Tiba-tiba dia tersenyum nakal apabila tubuh tegap milik Encik Megat menyapa ruang mata. Namun  senyuman itu tidak lama, Misha kembali memfokuskan penglihatannya.
“I sukakan you, Danial!” Ucapan sayang tidak putus-putus kedengaran di pinggir bibir itu hingga membuahkan perasaan hairan di hati Misha yang mendengar! Sungguh tidak bagus citarasa perempuan itu! Ada ke patut, makhluk garang seperti Encik Megat juga yang dicintai! Hessy!
Dari celahan engsel pintu,  gadis misteri tadi diperhatikan lagi! Ternyata, anak matanya menangkap gadis tadi sedang merebahkan kepalanya di dada bidang Encik Megat! Misha gigit bibir, dia tidak menyangka hingga ke tahap itu sekali perlakuan mereka berdua. Jijik! Namun dia merasa sedikit hairan, mengapa Encik Megat tidak memberi respon. Jangan-jangan lelaki itu sudah terminum ubat tidur hingga tidak sedar diperlakukan sedemikian. Astaghfirullahhalazim! Macam cerita drama pula!
“Megat, I really.. really love you!” Suara gemersik itu menyapa halwa telinga Misha.
“After this, you will be mine! Hak I yang tak mampu sesiapa gugat!” Bicara demi bicara itu disusuli elusan di serata tubuh Encik Megat. Misha terasa mual melihat adegan tidak dijangkakan itu!
“Maafkan I, kalau cara I untuk dapatkan you.. tak betul! Salah! Tapi percayalah, I hanya mahukan you!” Gadis tadi masih bersuara sambil menarik selimut menutupi tubuhnya. Bersama-sama berkongsi selimut!
 "Geli!" itu yg dirasakan kala ini.
**

“ENCIK, mana encik dapat berita ni? Saya yakin...” Bunyi bising tadi terhenti apabila daun pintu terbuka luas. Misha menekup mulut apabila anak matanya memanah tepat ke arah sekumpulan lelaki bersongkok dan berkopiah datang bersama Encik Danny! CEO hotel tempat dia bekerja!
“God! Di... you are dead!” Gumam Danny mengangkat kedua-dua tangannya ke sisi. Tidak percaya dengan apa yang dilihat!
“Astagfirullahhalazim!” Kesemua mereka beristghfar!
“Kejutkan kawan awak! Bermakna, aduan yang kami terima adalah benar!” Ujar salah seorang lelaki yang berkopiah putih diiringi seorang anggota polis.
“Eh, Encik! Mungkin ada kesilapan! Ya, saya percaya! Ini semua satu konspirasi!” Ucap Danny menafikan apa yang sedang tersapa di ruang mata. Dia sukar mempercayainya, namun dia juga tidak mampu menolak apa yang sedang terlihat oleh mata kepalanya sendiri!
Oh, sungguh dia tidak mampu percaya dengan apa yang sedang dilihat! Dalam garang-garang Danial, dalam Danial membenci spesis bernama perempuan, ternyata sepupunya itu sudah tiada teruna! Dengan Maya pula tu! Mati-mati dia menyangka, Danial adalah insan suci yang sukar ditewaskan dengan gelora nafsu!
“Maya! Wake up!” Ucap Danny seraya menggoncang bahu gadis itu. Misha yang memerhati sekadar memerhati, tahulah dirinya kini! Mengapa pelik benar tingkah gadis tersebut terhadap lelaki itu. Konspirasi jahat!
“Di.. bangun, Di! Bangun...” Bahu Danial pula digoyang.
“Maya, bangunlah weh! What the hell are you doing?” Hambur Dannny sedikit keras. Matilah sepupunya Megat Danial, andai berita ini tersebar di kalayak umum! Pasti ada yang mati kerana sakit jantung! Dan sudah tentunya, amukan datuk dan nenek mereka akan meletus tidak lama lagi.
“Errr.. apa ni?” Soal Maya seraya bangkit lalu memicit dahi. Berpura-pura tidak sedar dengan apa yang telah terjadi.
“Apa ni.. apa ni?” Ajuk Danny dengan nada geram. “Bangunlah! You buat apa dalam bilik Danial?” Sergah Danny seraya mencampak pakaian yang bertaburan di lantai ke muka Maya.
“I buat apa? Eerr.. I tak tahu Danny! Better you ask your cousin!” Balas Maya menolak jika dia harus dipersalahkan dalam hal ini. Misha yang masih bersembunyi, sekadar membatu diri! Menyaksikan wayang percuma dan sandiwara anyaman gadis berambut panjang itu!
“Di.. bangunlah! Amboi... penat benar nampak!” Ucap Danny seraya mencuit bahu sepupunya itu. Megat Danial masih lagi lena, sedikit pun tidak bergerak!
“Oit Di... kau kenapa bro? Sakit ke?” Bisik Danny seraya melekapkan tapak tangan di dahi sepupu yang masih tidur.
“Di.. bangun Di! Kau dalam nahas sekarang ni!” Bisikan terakhir Danny membuatkan Megat Danial yang masih mamai membuka sedikit kelopak mata.
“Ha?” Soal Megat Danial sepatah. Perlahan bersama suara serak-serak basah!
“Kau ditangkap khalwat!” Balas Danny perlahan.
“What?” Megat Danial segera bangkit! Terpinga-pinga bila anak matanya menancap beberapa individu tidak dikenali sedang galak memerhatikan dirinya!
“Kau di tangkap khalwat! Matilah kau Di,” gumam Danny pula.  Menakut-nakutkan sepupu yang sudah terperanjat besar.
“Who is she?” Pantas bibir Megat Danial menyoal individu yang menjadi pasangannya dalam kes tangkap khalwat ini.
“Tu,” juih Danny ke arah Maya yang sedang menutupi tubuhnya dengan sehelai selimut. Berpura-pura teraniaya di hujung kepala katil!
“What?” Hampir-hampir sahaja Megat Danial memekik keras.  Tidak semena-mena dia hamburkan amarahnya lalu bangkit dari katil. Hanya berseluar tanpa berbaju!
“Hey... perempuan! Kau buat apa dalam bilik aku ni hah?” Jerkah Megat Danial sudah bergema diseluruh ruang sederhana besar tapi mewah itu.
“Di.. rileks Di, jangan macam ni!” Danny segera mendapatkan Megat Danial lalu cuba menenangkan sepupunya itu.
“Kurang ajar, biadap! Berani kau ceroboh masuk ke bilik aku! Kau nak apa hah?” Hambur Megat Danial tanpa dapat ditahan-tahan lagi.
“Bertenang Encik, kita selesaikan hal ni di pejabat kami! Tolong beri kerjasama!” Pegawai pencegah maksiat sudah mencelah bagi meredakan keadaan tegang itu.
“Macam mana nak bertenang kalau saya kena fitnah!” Hambur Megat Danial bersama pandangan tajam. Pegawai-pegawai itu turut mendapat tempias amarahnya!
“Macam inilah, kita bincang di pejabat saya!” Pegawai tadi masih tenang melayani karenah individu yang pelbagai ragam apabila sudah tertangkap! Penyiasatan perlu dijalankan serapi mungkin agar tiada pihak yang teraniaya!
“Din, tolong kutip semua bukti  dan periksa bilik ni!” Arah pegawai itu kepada salah seorang penguatkuasa yang menyertai operasi itu. Danny sudah pening kepala! Jika tertangkap, nahaslah Danial!
Misha membatu diri sambil cuba memperkemaskan kedudukannya apabila menyedari anggota pencegah maksiat bernama Din sudah mendekati bilik air. Hampir.. semakin hampir.. dan hampir! Wajah ditekup dan mata dipejam erat!
“Opocot!” Lelaki memakai tag nama Samsudin terperanjat besar apabila pandangan matanya tersapa seseorang yang sedang duduk bercangkung di lantai bilik air sebaik sahaja daun pintu itu ditolak. Perlahan-lahan Misha membuka mata dan senyuman diukir walaupun dia sedar senyuman itu hambar tidak berseri.

No comments:

Post a Comment