Saturday, January 11, 2014

~ Datang Dengan Cinta { Bab 2 }




LEBIH kurang jam tiga petang. Haini bersendirian di kedai bunga Sweet Seroja milik ibunya. Dia nampak agak sibuk menyusun pelbagai bunga mawar dan bunga kekwa yang baru sampai dari pembekal. Pada kebiasaannya bunga-bunga segar itu dipesan terus dari pembekal di Cameron Highland yang sememangnya terkenal dengan penanaman bunga-bunga segar. Tanah tinggi yang dingin itu menyuburkan lagi bunga-bunga segar di sana.


“Mengapa lambat hari ni?” tanya Haini kepada Ganesh pekerja penghantar bunga segar dari Cameron Highland itu.


“Maaflah cik… ada masalah tanah runtuh kat sana… jalan tersekat tapi sekarang dah okey…,” sela Ganesh sambil tersenyum kecil.


“Emm… ditambah musim hujan sekarang… memang senang tanah nak runtuh…,” ujar Haini dan memahami keadaan yang sebenar.




Setelah menurunkan semua pesanan bunga dari Sweet Seroja, Ganesh menyerahkan bil pesanan sebelum pergi meninggalkan Haini di kaunter bayaran. Kemudian Haini kembali merenjis sedikit air pada bunga-bunga yang baru sampai itu. Ada bunga yang telah mekar dan ada juga bunga-bunga yang belum pecah kudupnya. Melihatkan bunga-bunga yang pelbagai warna itu, hati Haini turut berbunga riang. Dia seakan terlupa masalah yang pernah dihadapinya.


Seusai menguruskan bunga-bunga tersebut, Haini terus ke meja gubahan yang terletak di sisi kanan kedai. Selain bunga-bunga segar terdapat pelbagai aksesori yang berkaitan dengan bunga ada dijual di Sweet Seroja. Terdapat pelbagai bentuk bakul gubahan, pasu, riben yang berwarna-warni malah terdapat juga bunga-bunga plastik serta himpunan pelbagai bunga-bunga segar yang telah dikeringkan di situ. Apa sahaja yang berkaitan dengan perhiasan dan gubahan bunga ada di situ. Padat dan lengkap sebagai sebuah pusat perkhidmatan gubahan bunga.


Meja gubahan nampak bersepah dengan alatan yang masih belum dikemaskan. Sisa-sisa bunga segar dan kering masih kelihatan di situ. Haini percaya ibunya yang punya kerja sebab ada beberapa resit tempahan juga terdapat di situ. Bila banyak tempahan mulalah ibunya akan kelam kabut sehinggakan tidak sempat dikemaskan meja tersebut. Haini faham benar dengan kerja ibunya yang mahu cepat dan pelanggan adalah paling utama.


“Err… nanti lepas susun bunga-bunga yang baru sampai tu. Mama nak kena cepat hantar pesanan ni…,” beritahu Puan Zainah sebelum bergegas menuju keluar dari premis perniagaannya itu.


“Baiklah Ma.” Pendek sahaja jawapan Haini.


“Satu lagi… Along tolong kemaskan meja gubahan tu. Jangan nampak bersepah!”


“Iyelah… tahulah Along bersihkan meja ni nanti.”


Haini hanya tersenyum apabila teringatkan gelagat ibunya tadi. Selain mengubah bunga segar, Sweet Seroja juga menjual bunga kering yang telah siap digubah. Ada juga pelanggan yang mahukan gubahan bunga yang segera. Kebiasaannya gubahan tersebut akan dibuat oleh Puan Zainah apabila ada masa terluang. Namun Haini juga berkebolehan mengubah bunga. Semuanya dipelajari dari ibunya.


“Suka atau tak… Along kenalah belajar. Esok-esok kalau ada banyak tempahan bolehlah tolong Mama,” beritahu Puan Zainah semasa di awal pembukaan Sweet Seroja dahulu.


“Tapi Along tak pandailah Ma.”


“Tak pandailah nak kena belajar.”


“Susahlah Ma… macam tak ada seni saja tangan Along ni.”


“Nanti lama-lama okeylah. Mama dulu pun masa mula-mula dulu tak pandai jugak tapi Mama belajar dan terus belajar. Akhirnya jadilah macam yang Mama ada sekarang.”


Pada awalnya memang Haini kurang berminat dengan aktiviti gubahan bunga tetapi lama-lama minatnya mula bercambah. Kini dia juga berkebolehan menggubah bunga-bunga segar mahupun kering. Paling membanggakan apabila ada antara gubahan yang dibuat mendapat perhatian daripada pelanggan ibunya.


“Kalau dah ada pelanggan Mama yang suka hasil gubahan Along dah kira okeylah tu. Siapa kata anak Mama ni tak berbakat?”


“Tapi tak sehebat gubahan Mama. Banyak lagi yang Along kena belajar dengan Mama.”


“Kalau ada minat, apa-apa pun boleh jadi. Semangat nak belajar dan memajukan diri mesti ada dalam diri Along tu. Mama yakin Along boleh buat,”


“Minat tu memanglah minat Ma tapi kadang-kadang tu ada rasa bosan juga. Sebab itulah Along suka baca novel… dapat juga hilangkan perasaan bosan tu. Mama tak kesahkan?”


“Suka hati Alonglah. Apa yang penting bagi Mama… semua tempahan gubahan bunga mesti siap dalam tempoh masanya. Mama tak mahu complaint dari pelanggan. Mereka ibarat raja!”


“Maksud Mama?”


“Tanpa pelanggan… siapalah kita. Tak kira apa produk yang kita niagakan, perkhidmatan kita mestilah yang terbaik… customer is always right! Bila mereka suka dengan perkhidmatan yang kita tawarkan, barulah kita boleh menjana keuntungan yang berterusan.”


“Ermmm… baru Along faham,”


“Kalau dah faham kenalah praktikkan!”


Puan Zainah memang tegas dalam menurunkan ilmu perniagaan kepada anak-anaknya, terutama anak gadisnya itu. Dialah satu-satunya yang mewariskan perniagaan kedai bunga itu suatu hari nanti. Puan Zainah berasa sedikit kelegaan apabila anak gadisnya itu ada menunjukkan minat untuk sama-sama memajukan perniagaannya itu.


“Sebab itulah Mama nak Along sambung pelajaran dalam bidang perniagaan. Mama mahu pernigaan kita ini semakin bertambah kukuh dengan ilmu yang Along ada nanti. Hanya Along satu-satunya yang Mama harapkan. Adik kamu lelaki, perniagaan ini mungkin tak sesuai untuknya.” Puan Zainah pernah menyuarakan hasrat hatinya supaya Haini bersedia untuk memikul tanggungjawab terhadap perniagaan kedai bunga itu selepas tamat pembelajaran di pusat  pengajian tinggi kelak.


“Mama jangan bimbang… insyaAllah. Kalau bukan Along siapa lagikan?”


“Alhamdulillah… syukur Mama kepada Allah SWT kerana mengurniakan anak yang sebaik Along!”


“Sudah… Mama jangan nak buat sedih-sedih pulak. Along pulak yang menangis nanti.”


“Janji dengan Mama… Along tak akan sia-siakan usaha Mama ni.”


“Okey… Along janji!”


Itulah janji yang pernah dibuat oleh Haini kepada ibunya. Dia masih ingat dan akan disemat dalam-dalam di mindanya. Kata-kata ibunya bagaikan satu azimat. Dia kemudian mengambil beberapa kuntum bunga mawar berwarna merah yang bersaiz besar. Kemudian disatukan dengan kombinasi bunga-bunga kekwa pelbagai saiz dan warna. Disusun satu persatu ke dalam sebuah bakul bulat yang sederhana besar. Beberapa keratan bunga-bunga kering juga digunakan di samping daun-daun segar paku pakis menambahkan seri gubahannya itu. Dibeleknya beberapa kali dengan memusing-musingkan bakul gubahan itu. 


“Errmm… cantik juga sentuhan tangan aku ni!” tukasnya sendirian.


Senyuman nampak meleret di bibirnya tanda dia amat berpuas hati. Akhirnya diletakkan pita reben berbunga di sisi bakul gubahan itu. Setelah berpuas hati, gubahan itu akan diletakkan di atas rak berdekatan dengan cermin hadapan kedai. Kebiasaannya gubahan yang siap akan dipamerkan di situ. Kalau pelanggan lalu di hadapan Sweet Seroja pastikan akan ternampak gubahan yang sudah siap itu.


Seketika daun pintu kedai ditolak masuk. Kelihatan seorang pelanggan mula memerhatikan susunan bunga-bunga segar dan gubahan bunga yang ada di situ. Haini menghampiri bakal pelanggannya itu dengan senyuman yang mesra.


“Boleh saya bantu?” lembut nada suaranya.


Perempuan yang hampir seusia ibunya itu menoleh. Pandangan mereka bersatu.


“Err… Puan Zainah ada?” soal kembali perempuan itu.


“Ohh… dia keluar hantar pesanan. Dah lama dia keluar… kejap lagi baliklah Mama tu…,”


Sekali lagi perempuan itu memandang Haini dengan penuh minat.


“Jadi kamulah anak Puan Zainah tu ya…,” pintasnya sekali lagi.


Haini hanya mengangguk. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.


“Makcik kawan Mama ke?”


“Panggil saja Auntie Sara. Auntie lama dah kenal Mama kamu sebab suami Auntie berkawan baik dengan arwah ayah kamu…,” sambungnya lagi.


Haini hanya mengangguk tanda faham. Pertama kali dia bersua muka dengan wanita itu. Berdasarkan gaya dan cara dia berpakaian, Haini dapat mengagak wanita itu di kalangan orang yang berada juga. Penampilannya nampak moden namun budi bahasanya tetap ada. Apa-apa pun Haini mesti melayan dengan baik setiap pelanggan yang datang ke kedai bunga ibunya itu. Dia masih ingat segala pesanan ibunya, melayan pelanggan biar penuh sopan dan keikhlasan.  


“Kenapa tak telefon Mama sebelum datang?”


“Tak apa… lain kali pun boleh jumpa dia. Lagi pun Auntie nak cepat hari ini…,”


Seketika kedengaran bunyi hon daripada kereta yang diletakkan di hadapan Sweet Seroja dibunyikan. Bunyinya keras dan deras. Puan Sara seperti tersentak sambil mengalihkan pandangan ke arah kereta itu. Haini turut terpanggil untuk menoleh ke arah yang sama. Siapa pulak yang membuat bising dengan hon keretanya itu? Mengganggu ketenteraman sahaja desis hati kecilnya.


“Err… tengoklah tu. Macam tak sabar pulak dia menunggu!” tukas Puan Sara seperti membebel.


Haini sedikit kehairanan. Apakah kaitannya antara Puan Sara dengan kereta yang sedang dibunyikan honnya itu. Mulutnya mula peramah dan ringan untuk bertanya.


“Siapa tu Auntie?” soalnya spontan.


“Emm… itulah anak bujang Auntie. Kebetulan kereta Auntie masuk bengkel pagi tadi. Nak datang ke sini Auntie minta dia hantarkan. Lambat sikit mulalah tu...,” rungut Puan Sara lagi.


“Okeylah Auntie… apa yang saya boleh tolong Auntie? Lama kita berbual nanti berbunyi lagi hon kereta tu…,” ujar Haini sambil disambut gelak ketawa dari Puan Sara.


“Dia nak pergi main futsal... sebab itu nak cepat…,” tambah Puan Sara lagi.


“Pukul berapa?” soal Haini lagi.


“Katanya pukul 5 petang.”


“Sekarang pukul 3.30 petang… lama lagi tu…”


“Biasalah orang lelaki… nak cepat saja!” gerutu Puan Sara lagi. “Oh ya…Auntie nak melawat kawan sakit di hospital jadi tolong cadangkan satu gubahan bunga segar yang ringkas untuk Auntie,” sambungnya lagi.


Haini segera mengambil beberapa kuntum bunga mawar berwarna kuning, beberapa kuntum bunga kekwa berwarna ungu serta bunga carnation yang berwarna jingga. Juga dipadankan dengan beberapa helai daun paku pakis serta sedikit bunga kering. Puan Sara berpuas hati dengan pilihan bunga-bunga itu.


“Auntie tak boleh tunggu lama. Kamu gubahkan dahulu… nanti pukul 5 petang Auntie datang ambil. Apa-apa pun selepas kereta Auntie di bengkel siap diperbaiki,” ujar Puan Sara sambil meninjau ke arah kereta di luar premis perniagaan itu.


“Baiklah… nanti saya siapkan. Ini resit pesanannya… sila datang lagi. Terima kasih Auntie Sara,” ucap Haini sambil menghulurkan sekeping resit ke tangan Puan Sara.


“Jangan lupa letak kadnya sekali…,” tambahnya lagi.


Haini mengangguk tanda faham. Kedengaran bunyi hon kereta berbunyi sekali lagi. Puan Sara terus bergegas keluar mendapatkan anak bujangnya itu. Haini turut tersenyum melihat gelagat Puan Sara yang agak mengelabah itu.


“Hmm… inilah orang lelaki… tak sabar sangat!” omelnya antara dengar dengan tidak.


Selepas siap mengemaskan apa yang perlu, Haini mula menghadap sejumlah bunga-bunga segar yang mesti disiapkan gubahannya sebelum jam 5 petang. Satu persatu bunga-bunga itu disusun ke dalam bakul yang agak sederhana besarnya. Gubahan bunga itu diadun mengikut citarasanya. Dibeleknya beberapa kali dan setelah berpuas hati barulah dia berhenti menggubah. Hatinya turut riang melihat gubahan yang siap itu. Kuntuman bunga-bunga segar yang ada di dalam kedai itu turut menjadikan ruang di situ berbau harum. Kuntuman yang pelbagai warna itu turut menambah seri dan menceriakan keadaan di situ. Di dinding berhampiran, jarum jam terus berdetik.

No comments:

Post a Comment