Friday, January 31, 2014

MKR ~ BAB 6 -



BAB 6

“HEY… dia ni lagi! Perempuan lain dah pupus agaknya!” Gerutu hati kecil Megat Danial apabila dari jauh lagi sepasang anak matanya menangkap kelibat gadis yang gemar bertegang urat dengannya, sedang melangkah masuk menerusi pintu belakang hotel. Siapa lagi jika bukan Cik Misha aka Elmi Husna.

Nissan Skyline terus dipandu perlahan menyusuri laluan menuju ke basement bangunan. Di situ, deretan kereta sedang menunggu giliran memasuki tempat meletak kenderaan yang disediakan khas kepada para pekerja. Sampai sahaja di tempat kereta yang di khaskan buatnya, Megat Danial membuntang pandang. Di situ, sebuah kereta lain sudah diparkir megah!

“Hessy.. siapa punya ni?” Gerutu bibir merah sensual itu bersama riak tidak puas hati. Sudahlah parkir miliknya dirampas, kini kereta yang dilihat sepasang anak matanya cukup-cukup membuatkan hati terhiris dan jiwa raga luka berdarah. Lamborghini tu! Huh bilalah dia boleh dapat!

“Lamborghini versus Nissan Skyline, fuhh…. Jauh bezanya!” Hati membanding-bandingkan kereta yang sedang dipandu, dengan kenderaan yang tersapa di pandangan mata. Hati dipagut perasaan cemburu!

“Siapa punya ni?” Bibir masih bersuara dan meneka-neka empunya kenderaan mewah tersebut. Jangan-jangan ada VVIP yang datang menginap di sini! Tapi mengapa pula parking di kotak parking miliknya pula. Kenapa bukan ditempat yang sepatutnya? Arghhh hairan.. hairan!

Tokkk... tokkk.. cermin kereta diketuk! Megat Danial menoleh, Danny bersama sengihannya tersapa di ruang mata. Tanpa berlengah, cermin tingkap diturunkan.
Danny bersuara. “Apasal berkedut aje tengok muka kau ni beb?” Soal Danny bersama kening yang terjungkit tinggi. Senyuman pula semakin melebar.

“Kau tahu tu kereta siapa?” Dia menyoal sebaris. Pandangan dilarikan semula ke arah Lamborghini merah garang itu. Cemburu... cemburu! Hai hati, tolonglah bersabar!
“Entah,” sahut Danny seraya menjungkit bahu.

“Heeeesyy...” Satu keluhan terbit di pinggir bibir. Stereng kereta diketuk-ketuk dan kepala di geleng sekali. Dia cemburu! Rasa tergugat dan sedikit tercabar! “Weh, cepat parking! Uncle Fauzan dengan Untie Min dah tunggu kita beb!” Ujar Danny bersahaja. Namun tidak pada dia yang terkesima. 

“Tunggu kita?” Ulang Megat Danial perlahan. Namun sedikit sebanyak, perasaan curiga itu mula mengambil tempat di pinggir hati. Ini tidak lain tidak bukan, pasti berkaitan aset pemberian datuk mereka.

“Ha’ah tunggu kita! Ni mesti pasal kes harta atuk kau yang bertimbun tu!” Ulas Danny terlebih dahulu menyuarakan apa yang bermain di ruang minda sepupunya. Sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluar, dia kembali bersuara. “Hoi Di, kau termenung pulak eh!” Sergahnya mematikan lamunan Megat Danial yang tiba-tiba sahaja diam tidak berkutik.

“Huisss kau ni... buat terkejut aku aje. Nasib tak mati! Kalau mati tadi, kau buat kenduri tahlil untuk aku 100 hari 100 malam!” Dada diurut-urut lalu dia kembali bersuara. 
“Apasal pula diorang nak jumpa kita eh? Heessyy... kan aku dah cakap! Mesti jadi masalah punya!” Gumam Megat Danial melepaskan rasa yang sekian lama terbuku di dalam jiwa. 

“100 hari? Melampau! Tak kuasa aku heh, buat habis beras aje!” Balas Danny sambil tersengih-sengih. Sejurus itu dia kembali bersuara. “Dah la beb, cepat blah! Aku tunggu kau dekat office!” Pesan Danny seraya melangkah pergi. Megat Danial memerhatikan susuk tubuh itu hingga lenyap dari pandangan mata. Rambut diraup lalu kereta dipandu keluar dari basement. Tidak jadi naik ke bangunan hotel yang menempatkan pejabat operasi, bahkan pemanduan diteruskan ke kawasan meletak kenderaan di sekitar perkarangan hotel mewah yang dipayungi pohon-pohon hijau yang merimbun. Sejuk mata memandang!

“UNCLE rasa, lebih baik Di dengan Danny serahkan semula company dan hotel ni pada atuk dan nenek.” Setiap bait patah bicara itu menusuk masuk ke gegendang telinga. Danny hanya membungkam diri, manakala Megat Danial pula seakan-akan bersahaja. Tidak ambil pusing dan tidak ambil endah.

“Betul kata uncle tu, lagipun Di dan Danny terlalu muda untuk uruskan semua ni! Kami ni anak kandung mereka, dan kami lebih layak.” Aju Datin Puteri Jasmin menyokong tutur bicara adik bongsunya Megat Fauzan.

“Di... Danny....” Kedua nama anak muda itu diseru penuh tertib. Danny panggung wajah melihat raut wajah ketiga-tiganya. Hanya Megat Danial sahaja yang masih beriak selamba, memerhatikan panorama luar pejabat. Tasik Putrajaya diperhatikan, tenang bersama desir bayu pagi.

“Bukan auntie memeras Di dengan Danny... tapi bagi auntie, perbuatan atuk dan nenek tak adil. Dan membelakangi kami yang lebih layak.” Aju Puteri Marlisa pula menguatkan hujah. Keluarga megat dan puteri ini saling berbicara. Namun jawapan balas dari kedua-duanya, masih belum kunjung tiba. 

“Kalau boleh, serahkan semula aset yang sepatutnya menjadi milik kami kepada atuk dan nenek, atau Di dan Danny pindahkan semuanya ke atas nama uncle dan auntie. Lagi pun perbuatan atuk dan nenek, tidak adil. Mengetepikan kami yang lebih berhak!” Tokok Megat Fauzan bersulam sedikit emosi.

“Lagi satu, Di dengan Danny kena fikirkan Syah, Fiza dan Syazreen. Mereka langsung tidak mendapat apa-apa? Satu sen pun tak ada! Tolonglah fikir, auntie tahu yang Di dan Danny bijak orangnya.  Jangan kerana harta yang bukan milik kamu, menyebabkan hubungan kita bermasalah!” Tutur Datin Jasmin pula. Adik beradik kepada bapa mereka berdua.

“Auntie,” setelah lama berdiam diri akhirnya Megat Danial melontar bicara. Datin Jasmin menoleh ke arah anak saudaranya itu. Riak tegas dan bengis itu saling tidak tumpah seperti abang sulungnya yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Seiras!

“Semua ni bukan kehendak Di, semua ni atas kehendak atuk dan nenek. Mereka yang serahkan semuanya kepada kami, kami tak minta dan kami tak memaksa!” Luah Megat Danial mengenai perkara sebenar yang mungkin tidak diketahui oleh adik beradik bapanya itu.

“Tapi Di boleh menolak, Di boleh bangkang dan tak perlu tanda tangan semua penyerahan aset tu.” Sampuk Puteri Marisa pula. “Jangan-jangan Di memang gembira dengan pemberian daripada atuk dan nenek?” Tebak Megat Fauzan pula. Namun ulasan yang diberi mendapat isyarat tidak senang dari Datin Puteri Marisa.

“Di, jangan ambil hati dengan cakap-cakap uncle Fauzan tadi. Yang penting sekarang ni, auntie harap Di dan Danny boleh serahkan aset ni kepada kami. Boleh ya sayang,” pujuk Datin Puteri Marisa penuh kelembutan. Namun dia tidak mudah terpedaya! Hatinya keras dan jiwanya kering! Tiada simpati yang bersisa! Danny pula merenung wajah Megat Danial tanpa reaksi. Sepertinya, Megat Danial berkira-kira mahu mengucapkan sesuatu!

“Kenapa Uncle dan auntie tak tanya pada atuk dan nenek sendiri?” Luah Megat Danial tanpa memandang raut wajah ketiga-tiganya. Hatinya mula dipagut resah apabila perihal harta mula dibangkitkan oleh ibu dan bapa saudaranya itu.

“Auntie tak mahu dikatakan tamak haloba, lagipun auntie tak mahu atuk dan nenek fikirkan yang bukan-bukan tentang kami!” Sahut Datin Puteri Jasmin lagi. Wanita itu banyak bersuara berbanding Puteri Marisa dan juga Megat Fauzan. Mungkin kerana wanita itu merupakan individu yang paling tua dan lebih berpengaruh berbanding keduanya, menjadikan dirinya sebagai perantara untuk isu yang baru sahaja berbangkit.
“Danny, kenapa senyap aje?” Puteri Marisa pula menyoal anak saudaranya itu. Danny menggeleng seraya tersenyum hambar. Sudah dijangkakan, perkara ini akan terjadi. Dan benarlah segala telahannya, hari dan detiknya sudah tiba dan kini perkara itu sedang dilalui bersama Megat Danial.

“Danny macam mana?” Soal Megat Fauzan mengalih perhatian kepada Danny yang sedari tadi senyap tanpa sepatah bicara.

“Danny.... Huh... Actually Danny tak tahu apa-apa uncle! I just follow the flow!” Luah Danny berterus terang. Benar, dia hanya mengikut haluan yang ditetapkan oleh datuk dan neneknya. Prinsipnya mudah, mereka memberi, dia menerima dan melaksanakannya! 

“Tak boleh macam tu Danny, syarikat ni bukan boleh diberi kepada sebarang orang.” Luah Megat Fauzan merasa terkilan kerana begitu mudah ibu dan ayahnya menyerahkan syarikat yang selama ini diidam-idamkan begitu sahaja kepada anak saudara yang baru setahun jagung menguruskannya. Ah, tidak sepatutnya hal ini terjadi. Mengapa tidak, anaknya yang bernama Syazreen diberi hak yang sama? Orang tuanya ternyata memang tidak adil! 

“Manalah Danny tahu uncle, semua ni atas kehendak atuk dan nenek!” Balas Danny hangat hati apabila kemampuannya mula diperlekehkan. Apa, teruk sangatkan syarikat itu selama dia mengambil alih! Keuntungan semakin meningkat dan jumlah pelabur juga semakin bertambah! Jadi, apa masalahnya?

“Lebih baik Danny serahkan kepada uncle. Uncle boleh handle dan manage dengan lebih baik lagi.” Ucap Megat Fauzan berterus terang walaupun Datin Puteri Jasmin memberi isyarat agar adik bongsunya itu mengawal percakapan.
“Danny pun boleh handle syarikat tu, uncle! Uncle jangan risau, bila atuk dan nenek dah beri kepercayaan kepada Danny. Insyallah, Danny akan gunakan kepercayaan tu sebaik mungkin!” Tegas Danny setelah yakin kehadiran bapa dan ibu saudaranya itu hanyalah sekadar memujuk untuk menyerahkan sahaja aset syarikat kepada ketiga-tiganya. Dia bukannya kurang cerdik untuk mentafisr makna disebalik kehadiran mereka. Segalanya bermotif, sedangkan selama ini hubungan yang terjalin tidak semesra mana! Dan tidak juga seakrab seperti keluarga yang lain. Bahkan ada sahaja perbalahan melibatkan mereka berdua dengan ketiga-tiga sepupu yang lain. Ada sahaja pertelingkahan yang mengundang campur tangan bapa dan ibu saudaranya itu. Dia sudah masak dan sudah jelak dengan permainan kotor itu!

“Jadi, Di dan Danny memang tak akan serahkan syarikat dan hotel ni kepada kami? Macam tu?” Puteri Marisa terus sahaja melempar kata. Terang tanpa bersuluh! Terhapus segala kelembutan yang dilakonkan seketika tadi.

“No!” Keduanya menjawab serentak.

“What? Kenapa kamu berdua ni berdegil?” Puteri Marisa terus bangkit dan bercekak pinggang di hadapan Danny yang sedang duduk termangu. Megat Danial pula sekadar menjeling tanpa sepatah kata.

“Kamu berdua tahu tak, Syazreen, Fiza dan Syah juga patut dapat apa yang kamu dapat! Atuk dan nenek kamu tak adil, kenapa kamu berdua bersubahat!” Hambur Puteri Marisa tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Berang apabila anak gadisnya tidak mendapat apa-apa manfaat dari kedua orang tuanya yang berharta itu! Sungguh tidak adil!

“Kami tak tahu apa-apa! Kalau uncle dan auntie nak tahu dengan lebih lanjut lagi, sila jumpa atuk dan nenek! Minta penjelasan dari mereka!” Putus Megat Danial apabila merasakan mereka mula terbeban dengan pemberian dari datuk dan neneknya itu. Satu persatu wajah ibu dan bapa saudaranya diperhatikan silih berganti!

“Kami takkan dapat apa-apa kalau kami jumpa mereka sekalipun!” Hambur Puteri Marisa lagi.

“Orang tua tu memang dah nyanyuk!” Megat Fauzan pula bersuara. Menghina kedua ibu bapanya sendiri! “Orang tua yang nyanyuk tulah, yang bagi semua aset tu pada budak-budak ni! Tak sedar diri langsung!” Hambur Puteri Marisa sambil berpeluk tubuh, wajah Danny dan Megat Danial dikerling melalui ekor mata. Cukup menyampah!

“Dasar anak jalanan! Mendapat lebih dari orang yang lebih berhak!” Sindir Datin Puteri Jasmin pula. Danny terpempam, ayat-ayat itu bakal membuatkan sepupunya Megat Danial diamuk amarah. Mengapa perlu diungkit lagi peristiwa yang menyakitkan hati sepupunya itu! Ah sudah, pasti hubungan yang sudah retak akan berpecah lalu terbelah! Lebih parah lagi, andai ianya hancur lalu tertusuk tangan. 

“Nak buat macam mana, like mother like son!” Sinis Megat Fauzan pula. Ketawa menyusul sesudah  kata-katanya terlontar keluar. Kini mereka menggunakan taktik provokasi bagi mematahkan ketegasan pemuda tegar itu. Dan provokasi yang dimainkan disahut dengan bicara kesat Megat Danial.

“Tak payah menyindir, berambus!” Usir Megat Danial apabila kata-kata hinaan itu kembali menyentuh segaris ingatan di kotak hatinya.

“Kurang ajar dan biadab!” Komen Megat Fauzan mula bangkit dari duduknya.

“Memang sama macam perempuan jalang tu!” Sampuk Puteri Marisa bersama tawa yang dibuat-buat. Gembira melihat air muka Megat Danial yang sudah bertukar bengis!

“Sudahlah Risa.. Zan.. budak ni memang spesis mak dia! Perempuan jalanan, bila diangkat tinggi mula lupa diri. Lupa daratan! Kalau boleh nak bolot semuanya! Dasar mata duitan! Seperti kaduk, naik junjung! Macam tulah perangainya!” Gerutu Datin Puteri Jasmin seraya bangkit dan mula mengorak langkah meninggalkan kamar pejabat yang hangat dengan kata-kata sindiran. 

“Berambus! Berambus!” Jerkah Megat Danial bersama pandangan tajam. Bergegar ruang sepi yang menyaksikan kata-kata hina itu terlafaz.

“Memang aku nak berambus! Dasar tak sedar diri!” Lontar Puteri Marisa seraya memulas tombol pintu dan melangkah keluar lalu diekori oleh Megat Fauzan dan juga Datin Puteri Jasmin. Keturunan megat dan puteri yang tidak menerima kehadiran seorang perempuan yang menjadi pilihan hati abang sulung mereka.

“Sabar Di, jangan marah-marah macam ni! Kalau kau marah, mereka menang!” Danny datang menenangkan sepupunya itu. Belakang bahu Megat Danial di elus perlahan.

“Aku bengang kau tahu tak! Apasal diorang ungkit pasal perempuan tu?” Hambur Megat Danial bersama bening yang mula berkaca-kaca. Pantas sahaja pandangan dilarikan ke arah panorama tasik di bawah sana.

“Di... sabarlah! Perempuan tu, mak kau tau! Tak baiklah kau bahasakan dia dengan panggilan macam tu. Tak elok,” luah Danny tidak bersetuju apabila Megat Danial mempergunakan bahasa yang dikira kasar sebagai panggilan untuk ibu kandungnya sendiri.

“Habis? Kau nak aku panggil dia dengan panggilan mummy? Macam tu?” Tebak Megat Danial bersama perasaan marah yang cuba ditahan-tahan.

“Sepatutnya, macam tulah!” Balas Danny bersama anggukan. Kaki dihayun menjauhi sepupunya itu, lantas punggung dilabuhkan ke sofa di sudut berdekatan kabinet yang menempatkan fail yang pelbagai warna.

“Senanglah korang cakap!” Gerutu Megat Danial sambil mengeluh berat. Pandangan dihalakan semula ke arah panorama luar. Biar tenang sedikit hati yang membara!

“Apsal pula? Kau baik-baik ajelah dengan mummy kau tu! Apa susahnya?” Soal Danny selamba melontar rasa hatinya. Pada hematnya sebagai manusia yang sudah hilang kasih sayang dari ibu dan bapa yang sudah lama pergi dahulu, dia merasakan Megat Danial cukup bertuah namun mensia-siakan peluang dan anugerah yang diberi! Membenci ibu kandung sendiri, dan mendendami perempuan yang sudah lama berubah dan meminta keizinan untuk kembali semula ke pangkuannya. 

“Kau cakap senanglah Danny... bukan kau yang rasa! Aku yang tanggung!” Hambur Megat Danial sedikit tinggi nada suara itu. Dia marahkan Danny yang terlalu mudah berkata-kata tanpa memikirkan keadaan dan akibat yang terpaksa ditanggung olehnya dahulu! Kesan perbuatan ibu kandungnya sendiri!

“Ya, memang aku cakap ni dengar  macam senang! Mudah! Tapi kalau aku di tempat kau, aku akan manfaatkan peluang yang aku ada! Aku akan sayang mak aku, aku akan bahagiakan dia seperti ibu-ibu yang lain rasa! Aku akan pastikan, dia tidak menangis kerana perbuatan aku! Takkan berkecil hati dan tak akan terguris! Tapi sayang, semua tu tak mungkin aku dapat! Mak dan ayah aku dah lama tak ada! Tapi aku tak pernah menyesal, bahkan aku bersyukur, kerana aku ada di saat mereka semua ‘pergi’!” Luah Danny perlahan bersama perasaan sukar dimengertikan. Namun dia tetap bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama dengan keduanya sebelum mereka dijemput pulang ke rahmatullah kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya.

“Up to you, Di. Kau boleh fikir dan boleh buat keputusan kau sendiri. Cuma aku nasihatkan, tolong buang ego kau! Dan maafkan dia, terima dia semula. Lagi pun, dia dah tak ada sesiapa dalam dunia ni!” Tokoknya lagi seraya bangkit dan berlalu pergi. Meninggalkan Megat Danial bersama satu persoalan.


MELALUI koridor bilik pekerja housekeeping, telinga Megat Danial menangkap perbualan beberapa individu yang tidak dikenali. Tidak semena-mena, langkah terhenti dan hati meronta inginkan kepastian. Suara itu seperti suara seorang gadis yang cukup dikenali! Siapa lagi jika bukan monster!

 “Haha... mestilah! Aib orang jangan dihebah-hebahkan! Tak baik, okeylah beb! Aku nak keluarlah, see you later!” Gumam Misha seraya mendekati pintu dan memulas tombol sebelum melangkah keluar. Namun langkahnya mati apabila seraut wajah lelaki yang cuba dielakkan terpacul di hadapan mata.

“Ikut saya!” arah Megat Danial tegas.

“Kemana?” soal Misha enggan menurut!

“Just follow my instruction!” Tekan Megat Danial sebaris. Langkah dihayun laju dan Misha mengekori dari arah belakang. Semakin menjauhi ruang rehat yang dikhaskan kepada kakitangan housekeeping.

“Saya ada kerja, dan saya rasa tak ada keperluan untuk saya ikut arahan Encik!” Gumam Misha bertegas dengan pendapatnya. Langkah tetap dihayun mengejar langkah Megat Danial yang sudah ke hadapan.

“Perlu atau tidak, sila ikut saya!” Hambur Megat Danial lagi.

“Saya sibuk!” Misha berkeras dan menghentikan langkah. Dan akhirnya berpatah semula  menuju ke arah bilik rehatnya. 

“Nak kemana?” Soal Megat Danial mual dihambat perasaan baran apabila Misha langsung tidak mahu menurut. 

“You tunggu.... tunggu dekat situ!” Arahnya bersama nada yang sedikit tinggi,  namun Misha seakan-akan tidak mendengar dan mengerti. Langkah tetap dihayun tanpa perasaan bersalah sehingga memaksa Megat Danial mengejar gadis itu dari arah belakang.

“Hey you...” Lengan Misha direntap dan sejurus itu langkah kaki itu terhenti manakala tubuh pula sudah berpusing lalu melekap ke batang tubuh Megat Danial. Kedua-duanya keras kaku! Hanya mata yang membuntang melawan pandangan di antara satu sama lain! Tenggelam dalam pandangan yang sukar ditafsirkan lagi.

“Ahhemmmmmm!” Deheman panjang itu membuatkan keduanya tersentak. Bagaikan terkena renjatan elektrik, pautan terlerai dan kedudukan kembali seperti normal.

“Adeh, sakit pulak tekak ni!” Ucap Danny bersahaja lalu meneruskan semula langkah yang terhenti gara-gara terperanjat dengan apa yang sedang terlihat oleh sepasang anak matanya itu. Senyuman yang terukir di pinggir bibir, cuba disembunyikan seboleh-bolehnya.

“Danny... semua ni salah faham!  Misunderstanding! Yeah, misunderstanding!” Terang Megat Danial sedikit gelabah. Sepupunya itu cuba menghampiri dirinya, dan kelihatan lelaki itu menghentikan langkah apabila tubuh sudah berhadapan.

“Danny,” sapa bibir itu. berkali-kali nafas terhambur keluar.

“Hurm?” Danny menjungkit kenin. Memberi ruang kepada Megat Danial menerangkan perkara sebenar yang berlaku seketika tadi.

“Danny, tolong dengar apa yang aku nak cakap ni.” Mohon Megat Danial bersama perasaan resah dan gundah.  Riak wajah Danny ditatap penuh pengharapan. Misha di sana, masih kaku dan statik! Tidak mampu bergerak lagi!

“Danny,” seru Megat Danial sepatah.

“Ha ya? Apa dia?” soal Danny seperti orang kurang cergas.

“Semua ni salah faham! Jangan fikir bukan-bukan!” ulang Megat Danial agar Danny sepupunya itu tidak salah menilai. Apa yang dilihat tidak seperti apa yang dimaksudkan. Ya, dia tidak sengaja.

“Aku tak cakap apa-apa pun!” ulas Danny setelah melihat perasaan cemas yang melanda sepupunya itu sudah berada di tahap kronik. Sedaya upaya senyuman cuba ditahan!  Lucu melihat sisi lain Megat Danial.


1 comment: